Penganalisis - Serang Israel-Qatar: Harga minyak mentah dijangka kekal bawah AS$70 setong

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kesan kenaikan harga minyak mentah susulan serangan udara Israel di Doha, Qatar adalah bersifat sementara dan ia dijangka kekal bawah paras AS$70 setong, kata penganalisis.

Setakat pagi Rabu, minyak mentah Brent meningkat 0.56 peratus kepada AS$66.39 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 0.54 peratus kepada AS$62.97 setong.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata beliau tidak melihat harga minyak akan meningkat mendadak, namun akan kekal berlegar di bawah AS$70 setong.

Beliau berkata, ia berikutan serangan udara Israel ke atas Qatar adalah serangan yang berfokus dan sukar untuk berulang lagi.

Katanya, serangan itu juga mendapat tentangan antarabangsa termasuk tidak disokong oleh Amerika Syarikat (AS).

"Oleh itu, harga minyak akan kekal stabil di bawah AS$70 setong," katanya kepada Berita Harian mengulas mengenai impak serangan Israel ke atas Qatar terhadap pergerakan harga minyak mentah dunia.

Mengulas impak harga minyak terhadap Malaysia, Ahmed Razman berkata, ketidaktentuan pergerakan harga minyak menjadikan rancangan penyasaran semula subsidi RON95 menjadi lebih penting.

Malah, katanya, langkah itu harus disegerakan memandangkan harga minyak yang tinggi akan menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih besar untuk subsidi RON95.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UNIKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kenaikan harga minyak berikutan serangan Israel ke atas Doha hanyalah kesan sementara saja.

Beliau menjangkakan harga minyak kembali normal dalam masa satu kedua minggu lagi memandangkan bekalan minyak dunia lebih dari keperluan semasa, dengan negara seperti Russia tidak mengurangkan pengeluarannya.

Katanya, minggu lalu, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ada merancang untuk mengurangkan pengeluaran minyak bagi menaikkan harga minyak yang rendah, yang mana ia sebelum berlaku serangan udara Israel di Doha, Qatar.

"Kenaikan harga minyak juga nanti dijangka memberikan kesan dengan kenaikan kadar inflasi kepada AS, ekonomi terbesar dunia yang sedang bergelut dengan ekonomi yang semakin perlahan.

"Justeru ia mungkin cuba dielakkan juga oleh AS bagi memastikan ekonominya tidak terarah kepada kemelesetan," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kenaikan harga minyak mentah dunia banyak dikaitkan dengan 'suhu' geopolitik dan juga kedudukan Qatar sebagai negara pengeluar minyak dan gas.

Beliau berkata, serangan itu dilihat membimbangkan berikutan reaksi daripada Presiden AS, Donald Trump seolah-olah menggambarkan bahawa tindakan Israel itu tidak mendapat restu AS.

Justeru, katanya, kebimbangan seterusnya adakah pihak Israel akan terus melaksanakan langkah sehalanya demi mencapai maksud untuk menghapus Hamas.

Menurutnya, sekiranya itulah konteksnya, maka ia berpotensi untuk menjejaskan penawaran minyak mentah dunia.

"Buat masa ini, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak satu peratus kepada AS$67 setong. Sukar untuk dipastikan apakah Israel akan meneruskan tindakan mereka. Justeru, perkara ini akan terus dipantau," katanya.