Penganggur didakwa sebabkan kematian penunggang motosikal mengaku tidak bersalah

oleh Penyumbang Rencana|
foto Buletin TV3
Penganggur dengan enam rekod kesalahan trafik, termasuk empat kes memandu laju dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Tawau pada Rabu selepas terbabit nahas di Jalan Chong Thien Vun, yang menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, April lalu.

Abu Dari Kurani, 41, didakwa di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum atas tiga pertuduhan, termasuk memandu Perodua Alza dalam keadaan berbahaya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) pada jam 5.57 petang, 9 April lalu.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian penunggang motosikal, Sudirman Malik Yusup, 28, yang melalui jalan sama ketika pulang dari tempat kerja. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara lima tahun hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Lelaki itu juga didakwa bagi dua lagi pertuduhan, iaitu menggunakan kenderaan tanpa cukai jalan serta memandu tanpa perlindungan insurans, masing-masing mengikut Seksyen 15(1)A dan Seksyen 90(1) akta sama.

Abu Dari mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pertama dan dibenarkan ikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan sementara menunggu sebutan semula kes pada 24 September depan.

Dia bagaimanapun mengaku bersalah menggunakan kenderaan tanpa cukai jalan dan memandu tanpa perlindungan insurans sebelum dikenakan denda keseluruhan RM3,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar denda, manakala lesen memandu digantung 12 bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Chen Wen Jye kemudian membayar denda ditetapkan. Pendakwaan kes dikendalikan Asisten Superintendan Joan Lee dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

BuletinTV3

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan. Mengikut…
Berita Domestik
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 4.30 petang, 12 Ogos lalu di sebuah rumah di Felda Serting Hilir…