Pengembara berkereta yang keluar masuk menerusi Woodlands dan Tuas boleh guna kod QR mulai 19 Mac

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari ICA
Pengembara yang tiba dan keluar dari Singapura dengan kereta melalui tempat pemeriksaan Woodlands dan Tuas boleh menggunakan kod respons pantas (kod QR) bagi menggantikan pasport untuk pelepasan imigresen yang lebih cepat dan mudah mulai 19 Mac ini.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura berkata daripada menghantar pasport mereka ke pegawai ICA di kaunter kereta, mereka hanya perlu mengimbas satu kod QR yang dikeluarkan mereka sebelum tiba di pusat pemeriksaan, untuk semua pengembara di dalam kereta.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia berkata untuk menggunakan Kod QR untuk pelepasan imigresen, pengembara perlu memuat turun aplikasi MyICA untuk peranti mudah alih mereka dan memasukkan butiran pasport mereka di dalam aplikasi itu untuk menghasilkan kod QR yang unik.

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma sama ada daripada App Store (iOS) atau Google Play Store (Android).

Ia berkata penduduk Singapura boleh memasukkan secara automatik butiran pasport mereka menerusi SingPass apabila mereka mengakses aplikasi MyICA atau menggunakan fungsi kamera terbina dalam pada aplikasi mudah alih untuk mengimbas Zon Boleh Dibaca Mesin (MRZ) pada muka surat biodata mereka di dalam pasport.

"Pelawat asing yang mengunjungi Singapura sebelum ini boleh menggunakan kamera terbina dalam aplikasi MyICA untuk mengimbas MRZ muka surat biodata mereka di dalam pasport untuk memasukkan maklumat pasport mereka," kata ICA di dalam satu kenyataan hari ini.

MRZ merupakan dua atau tiga baris aksara di bahagian bawah muka surat biodata pasport mereka.

Bagaimanapun, pelawat kali pertama dan mereka yang memasuki Singapura menggunakan pasport berbeza daripada kunjungan terakhir, mereka perlu menyerahkan pasport mereka untuk pelepasan imigresen dan hanya boleh menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen pada perjalanan seterusnya.

ICA berkata pengembara di dalam kereta sama boleh memasukkan butiran pasport mereka dan menghasilkan kod QR untuk satu kumpulan bagi pelepasan imigresen.

Agensi itu berkata inisitif kod QR ini membolehkan pengembara untuk menikmati pengalaman yang lebih pantas dan mudah dengan anggaran penjimatan masa kira-kira 20 saat untuk kereta dengan empat pengembara kepada hampir seminit untuk kenderaan dengan 10 pengembara.

"Malah selepas inisiatif ini dilancarkan, pengembara masih boleh memilih untuk menyerahkan pasport fizikal mereka kepada pegawai di kaunter, seperti amalan pada masa ini," katanya.

ICA berkata ia merancang untuk meluaskan pelepasan menggunakan kod QR secara progresif ke zon pelepasan lain di pusat pemeriksaan darat dan ini akan membolehkan pengembara dalam kenderaan lain juga menikmati pelepasan imigresen yang pantas dan mudah.

 

Bernama