Mohd Zulikram Shamsidi, seorang jurutera bersama isterinya Nor Saidatul Wanida Mohd Hazani menjelaskan mereka terpaksa berhadapan dengan kesukaran serta kerugian kewangan disebabkan pembelian tersebut.
Dalam saman yang diajukan di mahkamah seksyen dua bulan lalu, mereka menamakan Carsome Sdn Bhd dan Maybank Islamic Bhd sebagai defendan, serta menuntut ganti rugi bernilai RM100,000 daripada Carsome.
Mereka juga mahukan pengisytiharan pembatalan perjanjian sewa beli yang dimeterai bersama Maybank Islamic, selain mahukan pulangan semula yuran tempahan, deposit dan bayaran ansuran dua bulan, serta ganti rugi RM123,647.86 daripada institusi kewangan tersebut.
Menurut kenyataan daripada Tetuan Sugu K & Partners, Zulikram melihat iklan penjualan kereta tersebut di Carsome dan membuat keputusan untuk membelinya pada harga RM103,697.81 pada bulan November lalu.
Namun pada 12 Februari, Zulikram menerima panggilan polis yang memberitahu bahawa kereta yang dibelinya berkemungkinan besar kereta curi, sebelum disita untuk pengujian Jabatan Kimia.
Pada 18 Februari, Zulikram menerima surat daripada syarikat insurans yang memaklumkan pemilik terdahulu telah memfailkan tuntutan 'total loss' pada tahun 2018.
Menurut Zulikram, Carsome didapati cuai dalam memastikan setiap kenderaan yang dijual bukanlah unit yang dicuri sebelum membuat iklan dalam talian.
Namun, Carsome dalam pembelaannya menjelaskan mereka bergantung kepada laporan Puspakom yang menyatakan bahawa casis kenderaan tersebut tidak diusik sebelum ia dijual kepada plaintif.
Sumber: Free Malaysia Today