Pengusaha bengkel perlu pamer senarai mekanik, sijil kemahiran

oleh Mohamad Hanif|
gambar hiasan
Para pengusaha bengkel perlu mempamerkan senarai nama mekanik berserta sijil kelayakan kemahiran di premis masing-masing, menurut laporan Bernama.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah ini bertujuan untuk memudahkan pengguna memperoleh maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.

Jelasnya lagi, langkah mempamer senarai nama mekanik dan sijil kemahiran akan menggalakkan lagi pengusaha bengkel untuk mempersijilkan mekanik yang sedang bertugas, atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran.

Syarat itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lepas.

"Selain itu, kriteria lain ialah pengusaha perlu menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula. Ini bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka," kata beliau.

Menurut Salahuddin pindaan peraturan berkenaan telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama.

Bagaimanapun penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan sebelum penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.

"Tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.

"Sekiranya berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada peraturan ini boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599)," katanya.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Dalam pemeriksaan di lima buah bengkel itu, sebanyak 66 notis saman dikeluarkan melibatkan 30…
Berita Domestik
Menurut Mohd Jaafar bin Shaik Fareed, Ketua Kluster Automotif, Persatuan Pengilang & Industri…
Berita Domestik
  Sebelum ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan di seluruh…