Peniaga kereta terpakai tertekan, jualan kenderaan menurun 60%

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Harga kereta terpakai di negara ini didapati semakin mahal menyebabkan jualan kenderaan tersebut mengalami penurunan sehingga 60 peratus.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, penjual kereta terpakai sukar untuk meletakkan harga lebih rendah kerana industri tersebut sebenarnya dikawal oleh ‘orang tengah’.

Didapati harga yang diperoleh daripada orang tengah telah meningkat sebanyak RM3,000 menyebabkan harga bagi sesetengah jenama popular hampir menyamai harga kereta baharu.

Memburukkan lagi keadaan, masalah pinjaman bank yang rendah turut menyebabkan pembeli terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk bayaran muka.

Menurut seorang penjual kereta terpakai, Mohd Khairi Shafie, sebelum ini beliau mampu untuk menjual sehingga lebih 15 buah kereta sebulan tetapi kini menurun kepada lima buah kereta terpakai sahaja.

Jelasnya, penurunan lebih ketara berlaku bulan ini kerana masih belum ada sebuah pun kereta terpakai yang terjual walaupun sudah masuk pertengahan bulan.

“Harga kereta terpakai yang dijual sekarang ini memang agak tinggi kerana kami terpaksa ambil stok daripada ‘orang tengah’. Sukar untuk dapat stok dengan beli secara terus daripada pemilik kereta.

“Jadi harga meningkat sehingga RM3,000 kerana kami beli mahal, terpaksa jual mahal.

 


“Harga kereta terpakai juga sudah tidak jauh beza dengan kereta baharu, mungkin menjadi faktor jualan menurun.

“Ambil contoh, Toyota Vios (J Spec) terpakai tahun 2020 dijual dengan harga RM67,000 manakala kereta baharu bagi model sama berharga RM78,000,” katanya.

Seorang lagi penjual kereta terpakai, Mohd Nurull Haq Md Yaakob turut mengakui harga kereta terpakai meningkat sekurang-kurangnya RM3,000 dan lebih membebankan apabila pelanggan mendapat pinjaman bank yang rendah.

Katanya, pelanggan terpaksa mengeluarkan bayaran muka lebih tinggi berbanding sebelum ini menyebabkan ramai pelanggan mengubah fikiran.

“Jika dahulu saya boleh beli secara terus daripada pemilik kereta, contohnya Myvi dengan harga RM47,000. Sekarang itulah harga yang saya terpaksa beli daripada ‘orang tengah’.

“Contohnya, saya boleh jual semula dengan harga RM49,000. Pelanggan pula mungkin perlu bayar sehingga RM52,000 ditambah dengan insurans dan sebagainya.

“Sedangkan, pelanggan hanya lulus pinjaman RM40,000 sahaja. Dia perlu keluarkan RM12,000 lagi. Jadi, mereka akan fikir lebih baik beli kereta baharu kerana mungkin perlu bayar wang muka lebih rendah walaupun perlu tunggu lama,” katanya.

 


Sementara itu, seorang lagi pemilik perniagaan kereta terpakai, Khairil Anwar Jaafar juga berdepan penurunan jualan apabila hanya empat buah kereta terpakai terjual setakat setengah bulan ini.

Beliau mengakui tidak mempunyai pilihan untuk kekal dengan harga jualan ketika ini meskipun diakui agak tinggi sehingga menyebabkan terdapat stok tidak terjual dalam tempoh lama.

“Ada kereta sehingga enam bulan tidak terjual. Jika lebih lama tidak terjual, harga akan semakin susut, sedangkan kita beli dengan modal tinggi.

“Tidak pasti sampai bila kami perlu berdepan dengan dilema ini, ditambah pula dengan keadaan inflasi,” kata beliau.

 

INFO

PERBEZAAN HARGA KERETA TERPAKAI DAN BAHARU MENGIKUT MODEL POPULAR

 

SEGMEN B (KOMPAK)

Myvi (Generasi ke-3)

Terpakai - RM52,000 (2019)

Baharu - bermula RM64,000 (2022)

 

SEGMEN B (SEDAN)

Honda City 1.5V

Terpakai - RM73,000 (2020)

Baharu - bermula RM90,000 (2022)

 

Toyota Vios G Spec

Terpakai - RM75,000 (2020)

Baharu - bermula RM86,000 (2022)

 

SEGMEN D (SEDAN EXECUTIVE)

Honda Accord

Terpakai - RM114,000 (2018)

Baharu - bermula RM187,400 (2022)

 

MPV 7 TEMPAT DUDUK

Nissan Serena

Terpakai - RM110,000 (2018)

Baharu - bermula RM140,000 (2022)

 

TRAK (4x4)

Toyota Hilux

Terpakai - RM109,000 (2020)

Baharu - bermula RM136,000 (2022)

 

Nissan Navara

Terpakai - RM92,800 (2018)

Baharu - bermula RM142,900 (2022)

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Cuba bayangkan, satu hari anda baru sahaja mendapat peluang pekerjaan di kawasan sekitar Lembah…
Berita Domestik
Isu itu menyebabkan imej syarikat dan perniagaan mereka tercalar sehingga menimbulkan kebimbangan…
Berita Domestik
  "Ada (premis) yang dua kali disimbah asid, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung…