"Ini adalah penambahbaikan yang kita buat untuk penumpang dari KL ke Ipoh selaras dengan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) Fasa 1 yang siap secara berperingkat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pakej Promosi Maklumat Produk dan Tempat Pelancongan di Bandaraya Ipoh melalui ETS di Ipoh pada Rabu dan turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Sebelum ini, KTMB dalam kenyataan memaklumkan akan memperkenalkan enam perkhidmatan ETS Ekspres daripada 32 perkhidmatan sedia ada bagi sektor KL Sentral-Ipoh-KL Sentral, KL Sentral-Butterworth-KL Sentral dan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral.
Dengan perkhidmatan tersebut tren ekspres hanya akan berhenti di stesen utama dan perjalanan mengambil masa dua jam bagi sektor KL Sentral-Ipoh, sektor KL Sentral-Butterworth (tiga jam 30 minit) dan KL Sentral-Padang Besar (empat jam 50 minit).
Sementara itu, Rumaizi berkata pengiklanan melalui ETS menjadi inisiatif terbaharu yang dibuat oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama KTMB bagi mempromosikan maklumat produk dan tempat pelancongan menarik di bandar raya itu.
"Pada Disember tahun lalu MBI telah mengambil pendekatan melancarkan Tahun Melawat Ipoh 2023 sebagai showcase kepada Tahun Melawat Perak 2024 dan satu langkah persediaan meletakkan bandar raya Ipoh dalam peta pelancongan sebelum Tahun Melawat Malaysia 2026
"Memandangkan perjalanan ETS adalah dari Kuala Lumpur sehingga Padang Besar di sebelah utara dan dari Kuala Lumpur ke Gemas di sebelah selatan, maka pihak MBI amat yakin pengiklanan ini akan menarik lebih ramai pengunjung ke bandar raya Ipoh," katanya.
Beliau berkata produk yang akan dipromosikan telah disegmenkan kepada 3H (Hipster, Heritage and Health) meliputi pertumbuhan kafe berbentuk hipster, 27 bangunan bersejarah yang wujud sejak zaman British dan fasiliti hospital yang canggih serta sedia menerima pesakit luar negara untuk mendapatkan rawatan.