Penunggang motosikal - makhluk paling dibenci pakar keselamatan jalanraya?

oleh HEZERI SAMSURI|

Hampir setiap kali laporan berkaitan jumlah kemalangan maut jalanraya di dalam negara disampaikan, penunggang motosikal pastinya menjadi sasaran utama.

Untuk sebuah negara yang mempunyai kadar jualan tahunan kereta dan motosikal yang hampir sama, saya kira bukan mengejutkan jika jumlah kemalangan maut paling tinggi berlaku dalam kelompok penunggang/pembonceng motosikal kerana tidak seperti kereta, motosikal tidak ada perisai besi di luar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Melanggar mereka punah, dilanggar mereka musnah.

Menurut statistik terbaharu kemalangan jalan raya di dalam negara, purata kematian adalah seramai 18 orang sehari untuk tahun 2018, menurun daripada 19 kematian untuk tahun 2017.

Dan dari jumlah itu, 63 peratus kematian membabitkan penunggang motosikal. 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar menasihatkan agar golongan itu untuk lebih berhati-hati di jalan raya dan pihak kementerian akan meneruskan kempen keselamatan untuk mengingatkan pengguna.

Namun begitu, nada yang sama tidak dapat saya dengar dari kelompok "penggiat keselamatan jalan raya" yang begitu vokal bila ada isu-isu semasa berkaitan keselamatan jalan raya.

Malah kerana dahagakan publisiti, pakar-pakar ini beria-ia bangkit menentang keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan isu kadar kegelapan cermin kenderaan.

Sayang sekali alasan yang diberikan terlalu remeh dan dengan mudah ditepis oleh Anthony.

Tak apalah, sindrom "5-second glory" ini sesuatu yang normal di dalam negara kita. 

 

 

Berbalik kepada isu penunggang motosikal, sudah bertahun-tahun saya menadah telinga mendengar komen-komen berkaitan perlunya negara mengawal penunggang motosikal ini.

Antara yang dicadangkan oleh pakar-pakar ini dan juga nampaknya sekali-sekala disokong oleh JKJR dan Kementerian Pengangkutan ialah mengawal halaju motosikal.

Terbaharu, Anthony Loke sendiri berkata pihak kementerian sedang bekerjasama dengan pengeluar kenderaan untuk menghasilkan satu sistem yang boleh dipasang pada kenderaan untuk "mengurangkan" kadar kematian.

Baguslah, ada usaha cuma soalan dari saya ialah adakah menghukum penunggang motosikal ini satu-satunya cara yang wujud? 

Menurut pelbagai kajian yang telah dilakukan oleh penyelidik-penyelidik dari Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), majoriti kemalangan penunggang motosikal ialah yang membabitkan kenderaan lain.

Tidak ada pula kajian mendalam mengenai adakah kemalangan tersebut disebabkan kecuaian penunggang motosikal ataupun kecuaian pemandu kereta.

MIROS ialah satu-satunya agensi yang benar-benar mengkaji dan membuat perancangan berlandaskan bukti. 

Kerana itu, antara cadangan mereka ialah untuk meningkatkan laluan sikal dan meningkatkan spesifikasi motosikal agar dipasang dengan teknologi brek ABS.

Sayang sekali, membina laluan sikal mungkin terlalu mahal untuk diterima oleh mana-mana agensi dan projek ABS untuk motosikal masih lagi dikemam selepas bertahun-tahun dicadangkan.

Apapun, sekiranya anda menunggang motosikal setiap hari (saya kena tekankan perkataan setiap hari kerana ada pakar keselamatan yang menunggang setahun sekali tetapi mengaku memahami masalah penunggang motosikal), di bawah ialah senarai risiko-risiko yang anda akan temui walaupun anda menunggang dengan cara yang paling tertib.

 

 

Laluan paling kiri ...

  • Oleh kerana hanya sebilangan kecil jalan raya di dalam negara yang mempunyai laluan sikal, penunggang motosikal terpaksa berkongsi jalan raya dengan kenderaan-kenderaan yang lebih besar. Jika penunggang motosikal berada di lorong paling kiri dengan kelajuan yang dibenarkan, bas dan lori akan memotong mereka dengan jarak yang sangat hampir. 
  • Kenapa bas dan lori dibenarkan membawa laju masih satu misteri yang saya malas hendak bercerita. 
  • Ini kita belum bercerita tentang batu, pasir, cebisan tayar dan segala sampah yang terkumpul di laluan paling kiri itu.


Bila guna laluan sikal ...

  • Jika anda menggunakan laluan sikal, terutama di sebelah malam, anda perlu berhati-hati dengan penunggang basikal yang gemar menggunakan laluan tersebut, walaupun basikal jelas dilarang dari masuk ke lebuh raya. 
  • Bayangkan anda menunggang pada 60 kmsj dan selepas satu selekoh tajam di laluan sikal yang sempit itu, anda bertembung dengan basikal-basikal yang menutup seluruh laluan. Menarik bukan? 
  • Mungkin kerana mereka mempunyai basikal yang lebih mahal dari harga kapcai dan fasih pula berbahasa Inggeris, maka penunggang basikal ini tidak pernah disalahkan. 

Jika terlalu perlahan ...

  • Di Amerika Syarikat, undang-undang jalanraya mereka memahami konsep "going with the flow" di mana jika kebanyakan kenderaan bergerak pada kelajuan 100 kmsj, anda patut bergerak pada kelajuan yang sama demi keselamatan anda.
  • Masalah akan timbul bila kenderaan yang laju dari laluan paling kanan cuba untuk memasuki simpang di laluan paling kiri.
  • Bayangkan jika anda menunggang sebuah motosikal dan bergerak pada kelajuan 80 kmsj, dan sebuah kenderaan datang dari laluan paling kanan dan cuba memintas untuk masuk ke simpang di sebelah kiri.
  • Pertembungan akibat dua kelajuan yang berbeza polar ini sering berlaku, terutama di laluan sibuk dan di sebelah senja atau malam.
  • Contoh terbaik ialah laluan utama KL-Seremban di kawasan Sungai Besi ke Desa Petaling. 
  • Jalan itu mempunyai lima laluan dan beberapa simpang besar di sebelah kiri untuk ke Cheras, Kuchai Lama dan Bangsar.
  • Jika kerajaan Malaysia mahu hadkan kelajuan motosikal kepada 80 kmsj, saya akan menjadi orang pertama menjemput tuan Menteri untuk membonceng motosikal yang dibawa di kawasan itu pada jam 8.00 pm.

Isu U-turn sesuka hati ...

  • Pemandu kereta di Malaysia sebenarnya mendapat tempat istimewa di dalam hati penggiat keselamatan jalanraya Malaysia.
  • Mereka ini sebenarnya jarang sekali disalahkan bila seorang penunggang motosikal terbabit di dalam kemalangan yang melibatkan kereta.
  • Saya kurang pasti tetapi masalah pemandu kereta/lori/bas/trak melakukan pusingan U di mana-mana sahaja acap kali berlaku.
  • Walaupun wujud teknologi navigasi seperti Waze dan Google Map, pemandu-pemandu ini masih lagi sedikit "bebal".
  • Dan oleh kerana mereka tahu melakukan pusingan U ini satu kesalahan trafik, maka mereka akan cuba melakukannya dengan segera agar tidak ditangkap oleh pihak polis.
  • Dalam ketergesaan itulah sering mereka tidak ternampak kehadiran motosikal yang datang dengan lampu hadapan terbuka terang.
  • Lihat sahaja video-video yang ada di media sosial mengenai keburukan pemandu Malaysia dan adegan pusingan U ini memang sering terjadi.
  • Kenapa pemandu-pemandu ini tidak disalahkan adalah satu lagi kejadian ghaib yang pasti mendapat perhatian majalah Mastika.

Pasir dan cat jalan ...

  • Menurut statistik, kadar kemalangan penunggang motosikal kerana faktor jalanraya jarang berlaku.
  • Benar, tetapi jika anda menunggang setiap hari, faktor jalanraya HAMPIR menyebabkan kemalangan memang wujud dan statistiknya tinggi.
  • Pasir di jalanraya bukanlah isu baharu, tetapi ia "tidak wujud" kerana untuk pemandu kereta, ia bukan satu masalah.
  • Pasir sering terdapat pada simpang tiga yang sibuk atau di laluan paling kiri di jalan-jalan utama.
  • Rumble strip atau garisan cat jalan di Malaysia juga unik. Jika ia diletakan di antara bahu jalan, ia berfungsi untuk memastikan pemandu berada di laluan yang betul dan "mengejutkan" pemandu bila mereka tersasar keluar kerana mengantuk atau sibuk menjawab Whatsapp.
  • Ada juga rumble strip yang diletakkan sebelum kawasan merbahaya; contohnya sebelum satu selekoh tajam.
  • Namun begitu, ada rumble strip yang dietakkan sebelum selekoh merbahaya dan diteruskan sehingga pada selekoh itu sendiri sehingga jalan kembali lurus.
  • Untuk kenderaan empat roda, ia tidak begitu menjadi masalah.
  • Untuk motosikal kecil, rumble strip itu cukup untuk membuatkan tayar hadapan hilang sentuhan dengan permukaan jalan.
  • Ia cukup untuk membuat darah kita menyirap kerana takut dan marah.

 

 

Itu cuma beberapa masalah yang dihadapi oleh penunggang motosikal.

Saya tidak nafikan penunggang motosikal sendiri mempunyai masalah disiplin, tetapi bila kita bercerita tentang mod pengangkutan yang paling mampu milik dan tidak terikat dengan jadual (tren dan bas), kita sudah boleh memahami siapakan kelompok ini dan bagaimana cara pemikiran mereka.

Mereka perlukan bukan sahaja didikan, tetapi pengawasaan dan penegasan dalam tata tertib kelakuan. 

Walaupun saya tidak ada bukti dari segi kajian atau penyelidikan, tetapi saya kira anda perlu bersetuju bahaawa sistem jalan raya di dalam Lembah Kelang ini lebih mementingkan kereta dan kenderaan berat kerana di dalam lebuhraya dengan lima atau lebih laluan, motosikal seolah-olah kancil yang dilepaskan di dalam kandang kuda yang besar. 

Mereka akan dipijak dan ditendang, cuma tidak tahu bila sahaja ia akan berlaku. 

Sudah tiba masanya penunggang motosikal mempunyai wakil-wakil kelompok mereka yang mampu berhujah dengan baik agar suara mereka akan didengari di peringkat pemerintahan negara kerana jika tidak, mereka kekal sebagai golongan yang tidak mempunyai wakil sebenar.

Kepada pakar-pakar keselamatan, saya cadangkan jangan hanya pandai memberi komen kerana pihak media sudah bertahun-tahun menulis mengenai keselamatan jalanraya secara percuma.

Anda bila lagi? 

 

*Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian editorial Careta Media.


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Segmen tradisional atau lebih tepat lagi motosikal berenjin pembakaran dalaman di Vietnam kini…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang suspek…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis, berkata siasatan awal mendapati ketika…