Perarakan kereta vintaj warnai sambutan Hari Kebangsaan 2022

oleh SALINA JALIL|
Raptai perarakan Hari Kebangsaan yang telah diadakan pada Sabtu - gambar dari Bernama
Perarakan kereta vintaj keluaran era pramerdeka antara yang akan mewarnai Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.


Lebih mengujakan, 30 kereta model keluaran seawal tahun 1940-an antaranya Ponton, Sunbeam Alpine, MG Midget Red dan Austin Healey Sprite akan membawa tokoh yang berjasa kepada negara dan selebriti tempatan, termasuk beberapa pelakon filem pecah panggung Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Pengarah Persembahan Sambutan Hari Kebangsaan 2022, Rosnan Nordin berkata, objektif perarakan itu antara lain bagi menghargai jasa dan pengorbanan pejuang yang terlibat ketika negara mencapai kemerdekaan.

 

"Kereta vintaj ini juga mengimbau latar dan suasana zaman pramerdeka dahulu, orang ramai mungkin tidak tahu model kereta yang wujud pada zaman itu, jadi kita tunjuk balik menerusi perarakan ini.

 

"Setiap seorang daripada tokoh dan selebriti akan menaiki kenderaan klasik berkenaan yang akan dipandu sama ada pemilik kereta atau pemandu gantian," katanya kepada Bernama.

 

Rosnan berkata, perarakan yang pertama kali diadakan dalam skala lebih besar itu juga sebagai simbolik menggambarkan perjuangan yang harus diteruskan generasi muda.

 

Beliau berkata, antara tokoh yang dijangka menyertai perarakan adalah pegawai keselamatan negara yang terbabit sewaktu proses menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, iaitu Bintara Kanan Komunikasi Oliver Cuthbert Samuel dan Leftenan Komander (B) Mohamed Sharif Kalam.

 

Sementara itu, selebriti yang dijangka memeriahkan perarakan termasuk Bell Ngasri, Syazwan Zulkifli, Nas T, Luqman Hafidz, Datuk Rahim Razali, Shaharuddin Thamby dan Johan As'ari.

 

Rosnan yang juga Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berkata koleksi kereta dari kelab kereta vintaj itu diurus dan ditaja oleh pihak Agrobank.

 

 

 

Bernama