Pereka Datsun 240Z, Yoshihiko Matsuo meninggal dunia pada usia 86 tahun

oleh Mohamad Hanif|
Ketua pereka yang bertanggungjawab terhadap rekaan jentera ikonik Datsun 240Z, Yoshihiko Matsuo menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun tanggal 11 Julai yang lalu, menurut laporan daripada Japanese Nostalgic Car.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Matsuo yang dilahirkan pada 10 Julai, 1934 di Himeji, sebuah bandar yang terletak di Hyogo Prefecture, selatan Jepun itu melanjutkan pengajian di University College of Art sebelum berkhidmat secara terus di bawah Nissan.

Setelah kejayaan beliau membantu Nissan mereka semula sedan Bluebird 410, Matsuo diberikan kepercayaan untuk mengetuai unit permodelan, di mana model pertama Fairlady Z (atau S30Z) dihasilkan.

Dengan bantuan sepasukan kecil jurutera Nissan, Matsuo diberikan tugasan untuk menghasilkan reka bentuk Z yang kini menjadi antara ikon di dalam industri automotif, selain bertanggungjawab menentukan bagaimana kereta tersebut perlu dibina, layout mekanikal, jenis bahan dan juga harga jualan!

Matsuo juga turut berjaya meramalkan peningkatan trend pemanduan berkelajuan tinggi di lebuhraya, dan model Fairlady Z perlu berevolusi menjadi sebuah jentera yang mampu menakluki lebuhraya.

 


Yang pasti, rekaan 240Z yang begitu anggun dengan bonet panjang, kejuruteraan moden, prestasi yang mengujakan dan harga jualan yang rendah, hasil tangan Matsuo sememangnya mengundang respons positif daripada pembeli dan juga media permotoran.

Malah, para pengedar Datsun pada ketika itu terpaksa menghadapi senarai menunggu yang sangat panjang untuk model 240Z, serta jaringan pengedar yang bertambah meluas, sesuatu yang sangat menakjubkan oleh jenama kecil di pasaran yang dikuasai oleh jenama terkemuka seperti Jaguar, BMW, Porsche dan lain-lain.

51 tahun berlalu, ternyata rekaan Datsun 240Z kekal menjadi satu lagenda yang tersendiri, sehinggakan Nissan banyak mengambil inspirasi daripada model pertama Z untuk diabadikan pada model generasi terbaharu Z.

Yoshihiko Matsuo-san (1934-2020), berehatlah dengan aman!

 


Sumber: Japanese Nostalgic Car

Sumber gambar utama: Road and Track