Perjanjian dengan Edison Motors gagal, SsangYong cari pembeli baharu

oleh Mohamad Hanif|
SsangYong Motor mengumumkan rundingan pemerolehan yang dibuat dengan syarikat bas elektrik Edison Motors telah dibatalkan, dan menurut sumber berita, syarikat itu dikatakan tidak melengkapkan pembayaran sebelum tarikh akhir.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Rundingan antara SsangYong dengan konsortium yang dipimpin oleh Edison Motors telah pun diwar-warkan sejak Oktober 2021, dengan kontrak ditandatangani kedua-dua pihak pada Januari 2022.

Pengambilalihan pegangan besar di dalam SsangYong melibatkan kos sebanyak 305 billion won (RM1.06 billion) dengan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus.

Baki 274.3 billion won (RM950 juta) sepatutnya diselesaikan pada 25 Mac yang lalu, namun ia gagal diselesaikan sekaligus menyebabkan kontrak terbatal.

SsangYong sebelum ini dimiliki oleh Mahindra & Mahindra dengan pegangan sebanyak 75 peratus pada tahun 2010, namun pada tahun 2020, syarikat itu berhenti menyuntik dana kepada SsangYong dan meminta syarikat Korea itu mencari pemilik baharu.

Menurut laporan Automotive News Europe, SsangYong berjaya menjual sebanyak 84,496 unit kenderaan pada tahun 2021, penurunan sebanyak 21 peratus berbanding tahun 2020.

Di Eropah sahaja, syarikat Korea itu berjaya mencapai peningkatan jualan sebanyak 15 peratus, walaupun angka jualan sebenar masih lagi jauh lebih rendah (11,130 unit).

Sumber: Automotive News Europe