Dua perkakasan yang bakal dikeluarkan adalah sub-pemasangan kepala silinder (cylinder head sub-assembly) dan sub-pemasangan blok silinder (cylinder block sub-assembly).
Kedua-dua komponen ini dimodenkan menggunakan teknologi simulasi, kaedah pembinaan dan bahan terkini.
Walaupun reka bentuk dan spesifikasi asasnya dikekalkan, penambahbaikan dibuat untuk pemandu menikmati pengalaman pemanduan optimum dan ketahanan yang lebih baik.
Ciri-ciri Utama Perkakasan Baharu
Kepala Silinder
Untuk kepala silinder, penambahbaikan dilakukan pada ruang pembakaran untuk mengurangkan variasi nisbah mampatan antara enjin.
Saluran masuk udara kini disalut untuk menghasilkan permukaan yang lebih licin.
Pin pasak penutup sesondol (cam cap knock pins) yang sebelum ini hanya digunakan di bahagian tertentu, kini ditambah pada semua bahagian untuk memudahkan kerja pemasangan.
Blok Silinder
Bagi blok silinder, ketepatan pemesinan ditingkatkan melalui rawatan pengasah (honing) moden pada lubang silinder.
Bahan besi tuang yang digunakan juga lebih tegar berbanding versi asal, manakala struktur penutup engkol (crank cap) diubah suai berdasarkan simulasi untuk meningkatkan ketahanan.
Maklum Balas Peminat Dijadikan Panduan
Berdasarkan maklum balas daripada peminat, kepala silinder kini mempunyai dinding saluran masuk dan ekzos yang lebih tebal.
Blok silinder pula dilengkapi bonjolan (bosses) dan rusuk (ribs) untuk pemasangan mendatar, menjadikannya sesuai bukan sahaja untuk AE86 tetapi juga kenderaan pacuan roda hadapan.
Perkakasan baharu ini dijadualkan untuk dikeluarkan sekitar Mei 2026.
Pameran dan Pesanan Awal di Acara Initial D
Semasa acara Initial D 30th Anniversary di Fuji Speedway, Jepun pada 13 dan 14 September, TGR akan mempamerkan perkakasan warisan GR yang bakal dikeluarkan.
Sebuah AE86 yang telah dipulihkan menggunakan perkakasan sedia ada dan enjin 4A-GE yang dipasang dengan komponen baharu juga akan dipamerkan.
Tempahan awal untuk kedua-dua perkakasan ini bakal dibuka semasa acara tersebut.
Maklumat lanjut mengenai cara membuat pesanan selepas tempoh tempahan awal akan diumumkan di laman web rasmi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin