Perkhidmatan pemeriksaan kenderaan - MOT perlu pastikan tiada kartel

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Persatuan pengguna berharap usaha kerajaan memecahkan monopoli perkhidmatan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dengan melesenkan tiga syarikat baharu selain PUSPAKOM, tidak menyebabkan pembentukan kartel.

Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (Macfea), Profesor Dr Ahmad Hariza Hashim, berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu memastikan perkara terbabit tidak terjadi.

"Apa-apa usaha untuk pecahkan monopoli adalah usaha yang perlu disokong. Sekarang pengguna ada pilihan untuk hantar kereta mereka.

"Pihak pemeriksa juga tidak lagi kawal kos pemeriksaan kerana pengguna sepatutnya boleh membuat perbandingan harga terhadap perkhidmatan yang disediakan," katanya kepada Berita Harian.

Terdahulu media melaporkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) meluluskan tiga syarikat baharu bagi melaksanakan PPKM selain PUSPAKOM.

Syarikat yang baru diberi lesen itu terdiri daripada Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.

Mengulas mengenai kegiatan 'ulat', Ahmad berkata, isu itu timbul selama ini hanya kerana ada sebuah sahaja syarikat yang menawarkan perkhidmatan dan permintaan pula adalah tinggi.

"Bila ada syarikat yang lain juga menawarkan perkhidmatan yang sama mungkin 'ulat' ini akan berkurangan tetapi tidak menjamin kegiatan ini akan terus dihapuskan.

"Pengguna mungkin akan ada yang masih memerlukan perkhidmatan ini tambahan pula jika 'ulat' ini menjanjikan kelulusan dengan segera. MOT perlu kerap buat pemeriksaan mengejut," katanya.

Katanya lagi, dengan pemilihan tiga syarikat ini, MOT tentu telah memastikan syarikat yang terpilih ini mempunyai kemampuan dari segi kemahiran dan fasiliti yang mencukupi.

"Bagi pemilik kenderaan komersial mereka boleh pilih syarikat yang mereka yakin terhadap perkhidmatan yang diberikan. Tidak ada isu tentang perkara ini tambahan pula jika pihak MOT sering mengadakan pemantauan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Wan Mazlina Wan Mohamed, berkata memandangkan perkhidmatan yang lebih efisyen diperlukan, teknologi baru seperti sistem peranti diagnosis dalaman (OBD) dan alatan pengkomputeraan digital yang lebih canggih mungkin akan dipertimbangkan.

"Kerajaan mungkin akan meneliti semula kos perkhidmatan yang lebih kompetitif dan berpatutan bagi membiayai kos pelaburan awal yang tinggi oleh syarikat-syarikat baru ini.

"Kerajaan juga mungkin akan memberi insentif atau subsidi kepada syarikat-syarikat ini untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat secepat mungkin," katanya.

Wan Mazlina berkata, pembukaan pasaran baru, juga mungkin dapat meringankan beban pegawai pemeriksa PUSPAKOM dari tekanan 'ulat'.

"Jika pemeriksaan yang sah dapat dijalankan dengan telus, cepat dan efisien, ulat-ulat tidak akan mengenali siapa yang perlu disogok kerana orang baru. Mungkin ini dapat mengurangkan masalah ketidakpatuhan ini.

"Selain itu, perlu dikaji secara menyeluruh prosedur dan garis panduan perkhidmatan ini, mengenai kekerapan pemeriksaan, masa pemeriksaan dan jadual pemeriksaan. Ada beberapa aspek lagi yang perlu dikaji, seperti kos ekonomi pemilik-pemilik kenderaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PUSPAKOM juga perlu mempunyai polisi Whistleblowing, tetapi mungkin tidak ramai yang tahu atau yakin untuk menggunakan saluran tersebut.

"Perlu dikaji juga mengapa. Tidak boleh menyalahkan satu pihak atau satu agensi sahaja. Banyak lagi faktor yang menyebabkan ulat-ulat ini masih berani beraksi secara terang-terangan.

"Demi menjaga imej dan menarik pelanggan, pesaing baru akan menjadi lebih profesional dan beretika dalam menarik pelanggan baru yang ingin perkhidmatan yang cepat, telus dan efisien," katanya.

Beliau turut berkata, cabaran utama syarikat baru adalah untuk mencari pegawai pemeriksa yang berpengalaman, amanah, jujur dan beretika dalam memeriksa kenderaan komersial.

"Tidak ramai yang berpengalaman, terutama dalam kenderaan berat, dan kursus latihan mengambil masa yang panjang.

"Kemungkinan kakitangan berpengalaman dan berkemahiran di PUSPAKOM akan menjadi buruan syarikat baharu dengan tawaran ganjaran lebih baik tetapi ini akan menambah masalah kekurangan pegawai kepada PUSPAKOM pula," katanya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, pemeriksaan ketat itu bagi memastikan tiada unsur penyeludupan serta mengesahkan…
Berita Domestik
"Sikap tegas terutama ke atas kapitalis lori yang degil sebegini memberikan rasa yakin rakyat demi…
Berita Domestik
"Kita mempunyai pelanggan yang ramai, setiap tahun 1.4 juta pelanggan datang periksa kenderaan…