Perkhidmatan trem percuma di Putrajaya sehingga Julai

oleh Penyumbang Rencana|
Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sedang melaksanakan tempoh percubaan operasi Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan, bermula 13 Mei hingga 31 Julai ini.

Projek rintis di Putrajaya itu merupakan usaha PPj bagi mengetengahkan ART sebagai satu daripada mod pengangkutan yang boleh melengkapkan rangkaian sistem sedia ada.

Sekiranya semua berjalan lancar, perkhidmatan trem itu dijangka bermula akhir tahun ini.

 

Jurutera di Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Bahagian Trafik Dan Pengangkutan Awam PPj Muhammad Masrizal Saad berkata dua laluan diperkenalkan sempena tempoh percubaan iaitu laluan 1 yang akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat manakala laluan kedua beroperasi pada Sabtu dan Ahad sahaja.

"Laluan 1 akan bermula dari Stesen MRT Putrajaya Sentral, melalui destinasi pentadbiran kerajaan di Presint 2, 3 dan 4, manakala laluan 2 pula adalah dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke IOI City Mall," katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

ART menggunakan teknologi oleh CRRC, anak syarikat China iaitu syarikat pengeluar utama sistem dan komponen rel di dunia.

Menurut Muhammad Masrizal, trem berkenaan yang tidak bergantung kepada bahan api itu boleh menampung sehingga 239 penumpang pada waktu biasa dan sebanyak 307 orang pada waktu puncak.

"Tiada bayaran akan dikenakan kepada penumpang ketika tempoh percubaan ini dan orang awam yang ingin mencuba pengalaman menaiki ART hanya perlu menggunakan aplikasi melalui kod QR yang disediakan di stesen mengambil penumpang," katanya.

Pengguna trem Zainol Awang, 69, ketika ditemui berkata dia sanggup menempuh perjalanan lebih 100 kilometer dari Karak, Pahang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki ART.

"Pagi naik bas dari Karak, lepas tu naik MRT ke Putrajaya, bagus sangat dan boleh dikembangkan lagi. Seronok tengok negara kita dah semakin maju," katanya.

Seorang lagi pengguna Alia Jamin menyifatkan kemudahan terbaharu itu akan berupaya menarik lebih banyak pelancong ke Putrajaya untuk menikmati penggunaan trem di samping dapat melonjakkan ekonomi setempat.

Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian ART sepanjang tempoh percubaan berkenaan akan dimuat naik di laman sesawang dan laman media sosial rasmi PPj di https://www.ppj.gov.my/.

 

Bernama