'Perkuburan EV' di China dengan kereta elektrik terbiar ditinggalkan mereput!

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Ramai beranggapan bahawa pinggir bandar Hangzhou, China adalah daerah yang peka dengan kelestarian alam sekitar apabila melihat ratusan kenderaan elektrik (EV) dibiarkan di sana.

Namun hakikatnya, semua kereta itu bukan digunakan oleh penduduk di sana, sebaliknya ia terbengkalai, terbiar atau terbuang begitu sahaja.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Hal itu bukan saja berlaku di bandar tersebut, tetapi di beberapa kawasan di China, sekali gus menjadi ‘kubur’ bagi kenderaan mesra alam tersebut.

Berdasarkan laporan daripada portal berita Bloomberg, seperti yang berlaku kepada puluhan juta basikal kongsi bertimbun dan terbiar di China, kenderaan berkuasa bateri itu juga mengalami nasib sama dan jumlahnya kian meningkat.

“Kenderaan elektrik menjadi pilihan pengguna selepas pemerintah China melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan rakyatnya beralih kepada gaya hidup lestari serta mapan.

“Namun begitu, dengan lambakan penghasilan kereta elektrik dan kenaikan taraf spesifikasi yang begitu progresif, pengguna lebih selesa memiliki kereta terkini sehingga menyebabkan model lama terbiar serta terbuang begitu sahaja,” lapor portal berita itu.

Lambakan kereta elektrik itu berlaku selepas pemerintah China memperkenalkan subsidi pembuatan kepada ratusan pengeluar kereta di seluruh negara.

Subsidi itu diberikan untuk memenuhi permintaan terhadap kenderaan mesra alam berkenaan.

Sementara itu, menurut penganalisis kanan JSC Automotive, Young Huang, kebanyakan kereta elektrik terbengkalai datang daripada syarikat-syarikat pengangkutan.

Jelasnya, kenderaan tersebut kebanyakannya dibeli oleh syarikat pengangkutan sebelum memajakkannya kepada pemandu.

lambakan basikal yang terbiar di China

“Permintaan berkenaan membantu industri berkembang pesat.

“China kini merupakan peneraju dunia dalam kereta mesra alam dengan mengeluarkan sekitar 6 juta kenderaan elektrik dan hibrid plug-in pada tahun lalu. Jumlah itu hampir satu daripada setiap tiga kereta baharu yang dijual di dalam negara berkenaan.

“Ia menyumbang kepada 60 peratus daripada kenderaan elektrik semasa dunia. China juga mempunyai infrastruktur pengecas EV paling luas di dunia yang dibina hasil sokongan pemerintah,” ujarnya.

Jelasnya lagi, perkembangan pantas itu juga menyebabkan syarikat pengangkutan yang merupakan pengeluar awal kereta elektrik telah gulung tikar.

Kini, terdapat kira-kira 100 pembuat kereta elektrik di China. Jumlah itu menurun empat kali ganda berbanding 500 syarikat pada 2019.

gambar hiasan

Penurunan itu juga menjadi punca kepada lambakan kereta elektrik yang tidak terpakai susulan penutupan syarikat-syarikat berkenaan.

Kenderaan elektrik berkenaan telah terbiar di beberapa kawasan yang kini mendapat julukan ‘kubur kenderaan elektrik

Isu yang berkait dengan subsidi dikeluarkan oleh pemerintah China itu bermula sekitar akhir tahun 2020.

Setiap individu yang ingin memiliki kenderaan elektrik, pihak pemerintah akan menawarkan rebat sebanyak 60,000 yuan (RM39,487) dan menyekat pemilikan kereta petrol di beberapa bandar utama.

Pembuat kereta elektrik turut menyokong usaha itu dengan mengasaskan beberapa syarikat pemula ‘ride-hailing’ bagi memenuhi syarikat mereka dengan kenderaan mesra alam.

Terdapat beberapa syarikat yang masih kekal sehingga kini, antaranya Geely menerusi anak syarikatnya, Caocao Chuxing,

gambar hiasan

Namun begitu, perkhidmatan perkongsian kereta lain yang dipanggil Panda, anak syarikat Chongqing Lifan Auto Co. dan beberapa syarikat lain mengisytiharkan muflis pada 2020.

Pada pertengahan dekad 2010-2020, China meningkatkan usahanya untuk penggunaan kereta elektrik dengan sistem kredit.

Sistem itu memberi ganjaran kepada pembuat kereta elektrik serta menghukum pembuatan kereta yang menggunakan bahan api tinggi.

Laporan Fitch Ratings Inc. pada 2021 membangkitkan kemungkinan bahawa sesetengah pihak membuka syarikat pengangkutan sebagai cara mudah untuk memanfaatkan inventori kenderaan elektrik mereka.

Malangnya, kenderaan elektrik yang dikeluarkan itu tidak dibeli oleh orang ramai.

“Sesetengah syarikat pula menipu program subsidi dengan memalsukan rekod untuk kenderaan elektrik yang tidak wujud.

“Contohnya, mereka menghasilkan casis kosong yang tidak mengandungi bateri atau membuat kereta dengan bateri tidak memenuhi spesifikasi sebenar,” tulis laporan itu.

Sementara itu, laporan People’s Daily pada 2016 menganggarkan bahawa berpuluh-puluh syarikat kenderaan telah menuntut lebih 9.3 bilion yuan (RM6.12 bilion) dalam bentuk subsidi.

Disebabkan itu, Beijing mula mengurangkan subsidi nasional untuk semua pembelian kereta elektrik pada 2019.

Banyak syarikat pengangkutan tidak bersedia untuk perubahan dasar yang menjejaskan aliran tunai mereka dengan teruk.

gambar hiasan

Disebabkan itu banyak syarikat pengangkutan gagal bertahan.

Dalam pada itu, Pengarah penyelidikan korporat China Fitch Ratings, Jing Yang menjelaskan, kewujudan ‘tanah perkuburan’ kereta elektrik mula menarik perhatian orang ramai selepas penutupan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan elektrik.

“Fenomena ini memberi gambaran mengenai pasaran kenderaan tenaga baharu di China yang tidak mempertimbangkan masa depannya.

“Saya tidak terkejut apabila wujud ‘kubur’ kenderaan elektrik seperti mana yang berlaku pada basikal kongsi sekitar tahun 2018,” kongsinya.

Berhubung lambakan basikal kongsi terbiar yang pernah tular beberapa tahun sebelum ini, situasi itu dilaporkan masih berlarutan sehingga kini.

Hal ini berikutan terdapat satu penemuan ‘tanah perkuburan’ basikal kongsi yang besar di Xiamen iaitu sebuah bandar pantai di tenggara China.

Namun begitu, masih tidak jelas sama ada semua basikal kongsi itu milik orang di kawasan berkenaan atau dibawa dari tempat lain.

bateri kereta EV yang ditinggalkan

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Dalam mengambil kira masa depan serta Belanjawan 2024, tumpuan kita jelas kepada keterangkuman…
Berita Global
"Hari ini, kita menyaksikan impian 60 tahun negara kita direalisasikan. "Togg adalah simbol kepada…
Berita Domestik
  "Ada syarikat tertentu terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sanggup memperjuangkan (…