"Seorang wanita dalam lingkungan 40-an dan bayi perempuan berusia antara lapan hingga sembilan bulan meninggal dunia di lokasi.
"Pasukan bomba telah mengeluarkan mangsa tersepit sebelum diserahkan kepada polis dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut," katanya kepada Bernama.
Azhar Elmi berkata lima mangsa cedera dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Kamarulzaman Harun mengesahkan dua penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut, selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 15, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), pada Sabtu.
Beliau berkata dalam kejadian pada 2.20 petang, MPV Perodua Alza yang datang dari arah Gerik terbabas ketika melalui selekoh, lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dari arah Jeli.
"Akibat perlanggaran itu, dua penumpang MPV disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan serius.
"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kamarulzaman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jeli di talian 09-9440222 atau pegawai penyiasat di 014-8021928.