Perodua anggar jualan cecah 820,000 unit pada 2025, Bezza terlaris, 100,488 unit

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah 820,000 unit bagi 2025, sekali gus memberi petunjuk bahawa permintaan terhadap kenderaan kekal aktif, dipacu oleh minat pembeli yang mementingkan nilai produk.

Bagi 2025, pengeluar automotif nasional itu mengeluarkan sebanyak 370,370 unit kenderaan, meningkat 0.6 peratus berbanding 368,100 unit pada 2024. Jualan turut mencatat peningkatan 0.5 peratus kepada 359,904 unit berbanding 358,102 unit yang didaftarkan pada tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata berdasarkan unjuran dalaman syarikat, pegangan pasaran Perodua kini berada pada paras 43.9 peratus.

"Di samping itu, jumlah pengeluaran sebanyak 370,370 unit dan pendaftaran sebanyak 359,904 unit yang dicatatkan menunjukkan kami berjaya mengatasi rekod yang dicapai pada 2024," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dari segi prestasi mengikut model, Perodua Bezza mengekalkan kedudukan teratas dengan jualan sebanyak 100,488 unit pada 2025, menjadikannya tahun kedua berturut-turut model itu mencatat jualan melebihi 100,000 unit. Ia diikuti Perodua Axia dengan 84,291 unit dan Perodua Myvi sebanyak 72,724 unit.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata impak model QV-E dan Traz yang baru dilancarkan terhadap jumlah jualan keseluruhan hanya akan dapat dinilai pada tahun ini.

Menurut beliau, dengan sokongan kukuh rakyat Malaysia, keseluruhan ekosistem automotif negara dijangka meraih manfaat besar melalui pembelian komponen bernilai RM11 bilion daripada vendor tempatan, di samping memperkasakan usahawan tempatan seperti pengedar bertauliah dan stokis Perodua.

"Kami akan terus memainkan peranan sebagai pembina negara dengan mengembangkan perniagaan di sini, terutama dalam industri kenderaan elektrik serta tawaran digital lain.

"Perodua juga akan terus mengukuhkan kerjasama sedia ada dan pada masa sama mencari kerjasama baharu yang mampu memberi manfaat kepada industri tempatan dan negara," katanya.

NST

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Dari segi dalaman, kami sedang berdepan beberapa masalah pengeluaran berkaitan QV-E. Kami sudah…
Berita Domestik
"Dengan pengenaan duti import tambahan sebanyak 30 peratus dan duti eksais 10 peratus ke atas…
Informasi
"Tempoh jangka panjang kontrak ini meningkatkan keterlihatan perancangan pengeluaran, menyokong…