Perodua bangunkan SUV segmen B, pesaing X50?

oleh Mohamad Hanif|
Di pasaran Malaysia, SUV segmen B semakin mendapat tempat di hati masyarakat, baik dari peminat model pemasangan tempatan, model Jepun serta model-model dari China.

Terbaharu, rakan media Automachi mendedahkan informasi berhubung perancangan Perodua yang dikatakan mahu melancarkan sebuah model baharu, iaitu SUV segmen B yang bakal menjadi pesaing terus kepada Proton X50.

Menurut laman tersebut, Perodua baru-baru ini menjalankan kaji selidik berhubung minat masyarakat terhadap SUV baharu ini.
 

SUV


Dari segi dimensi, SUV baharu Perodua ini berukuran sepanjang 4,320 mm, lebar 1,770 mm dan tinggi 1,685 mm dengan berat sekitar 1,283 kg dan jarak antara roda yang masih lagi rahsia.

Ia menjadikannya sedikit pendek dan rendah berbanding Proton X50 (4,330 x 1,800 x 1,609 mm), namun lebih besar berbanding SUV Perodua Ativa (4,065 x 1,710 x 1,635 mm).

Tidak seperti Ativa yang tampil dengan enjin turbo tiga silinder sebaris, SUV baharu ini dijangka menggunapakai enjin 1.5 liter aspirasi natural Dual-VVTi dengan kuasa maksimum 106 PS dan daya kilas 137 Nm yang dipadankan dengan transmisi D-CVT.
 

Daihatsu Xenia


Rekaan luaran SUV baharu ini bakal mengadaptasi bentuk seakan coupe dengan rekaan yang menghampiri rupa Ativa, sementara muka depan pula menyamai model MPV Perodua D27A yang bakal dilancarkan kelak.

Menurut sumber itu lagi, walaupun model SUV baharu ini menggunakan platform DNGA, ia masih lagi tiada dalam versi lencana Daihatsu mahupun Toyota, sementara harga jualan pula dikatakan bermula dari RM73,000.

Sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya daripada Perodua kelak.


Sumber: Automachi

 


Sumber gambar: Theophilus