Perodua D55L tidak akan hadir tahun ini!

oleh Mohamad Hanif|
kredit: Ajerul
SUV Perodua terbaharu (dengan kod nama D55L) mungkin sekali satu model yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya, memandangkan sudah sekian lama ia didedahkan oleh media tempatan serta laman media sosial di Malaysia.


Namun, dalam satu perkembangan terbaharu, Perodua mengesahkan bahawa SUV yang masih tidak bernama itu tidak akan membuat kemunculan rasmi pada tahun ini.

Dalam satu sidang media di MARii semalam, Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad ditanya berkenaan kesan COVID-19 terhadap pelancaran model baharu Perodua, khususnya SUV D55L itu.

Jawapan beliau, SUV D55L tersebut sebenarnya tidak pernah dijadualkan pelancarannya pada tahun ini, bertentangan dengan laporan terdahulu di mana Perodua dikatakan akan melancarkan SUV segmen A itu pada separuh kedua tahun ini.

"Saya tidak dapat memberitahu bila, ini kerana dalam pelan asal SUV tersebut memang tidak akan dilancarkan pada tahun ini.

 


"Disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan, kami harus menilai kembali perancangan asal, dan buat masa ini, kami tidak akan melancarkan model baharu dalam tempoh terdekat," ujar beliau lagi.

Kesan daripada pengumuman pengecualian cukai jualan oleh kerajaan baru-baru ini menyaksikan peningkatan permintaan terhadap model-model semasa Perodua, di mana syarikat Rawang tersebut terpaksa beroperasi pada kadar 98-99 peratus daripada kapasiti asal, atau kira-kira 25,000 unit sebulan.

Pada ketika ini, tempoh menunggu bagi kenderaan Perodua adalah lebih daripada dua bulan.

Perodua D55L merupakan kembar kepada model yang dihasilkan oleh Toyota/Daihatsu, iaitu Toyota Raize dan Daihatsu Rocky yang dibangunkan daripada platform DNGA.

Untuk pasaran Jepun, ia hadir dengan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo menghasilkan 97 hp dan 140 Nm.

Transmisi pula adalah jenis D-CVT yang mampu memberikan pulangan bacaan bahan api serendah 5.4 liter/100 km.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam,…
Berita Global
Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula hari ini (Ahad) seperti yang dimaklumkan oleh Pihak…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…