"Dari segi dalaman, kami sedang berdepan beberapa masalah pengeluaran berkaitan QV-E. Kami sudah biasa dengan piawaian kualiti yang sangat tinggi, hasil pembelajaran dari Jepun.
"Dengan QV-E, kami mendapati sebahagian pembekal baharu, termasuk dari China, tidak memenuhi piawaian kualiti kami," katanya dalam satu temu bual bersama Careta.
Beliau menambah, pada masa ini terdapat 30 kakitangan Perodua di China yang memantau pembekal bagi memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard.
Ditanya mengenai sasaran jualan 500 unit sebulan bagi model EV berkenaan, Zainal Abidin berkata: "Untuk berlaku adil, pada waktu pelancaran (Disember), kami memang tidak menjangka dapat mencapai pengeluaran 500 unit sebulan. Kami merancang untuk memulakan pengeluaran penuh pada Januari.
"Sasaran itu boleh dicapai berdasarkan pelan awal kami, namun kami memutuskan untuk mengehadkan kereta pandu uji kepada lapan cawangan kerana ini merupakan EV pertama kami dan juga kenderaan pertama dengan banyak komponen kritikal dari China.
"Oleh itu, keyakinan kami untuk meningkatkan jualan buat masa ini adalah agak rendah, walaupun terdapat permintaan pasaran."
Perodua melancarkan QV-E, kereta elektrik pertama buatan Malaysia, pada harga runcit RM80,000 tidak termasuk insurans dan bateri.
Model QV-E dibangunkan sebagai sebahagian usaha nasional memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik yang mampan.
QV-E membawa maksud 'Quest for Visionary-Electric' dan dibangunkan dengan kos keseluruhan RM800 juta di Smart Mobility Plant, fasiliti pengilangan terbaharu Perodua.
Dalam perkembangan berkaitan, Zainal Abidin berkata Perodua menyasarkan penghasilan penuh secara tempatan model bateri elektrik QV-E pada Jun tahun ini.
Menurutnya, vendor Perodua kini sedang bekerja keras untuk membekalkan komponen bagi QV-E, dan pengeluar kereta nasional itu akan meningkatkan volum jualan selepas itu.
Beliau berkata, usaha itu dijangka membawa penjimatan kos dan beliau sendiri membayangkan harga QV-E yang dihasilkan secara tempatan sepenuhnya sekitar RM60,000, termasuk bateri.