Persatuan Vendor Perodua yakin Perodua mampu ubah industri automotif negara

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) amat terdorong dengan pertumbuhan jualan Perodua sebanyak 9.5% kepada 82,700 dalam tempoh empat bulan pertama 2019 daripada 75,500 kenderaan dalam tempoh yang sama tahun lepas – petunjuk positif bahawa syarikat tersebut boleh mencapai sasaran 231,000 unit menjelang akhir tahun ini.

“Sebagai wakil kesemua 125 pembekal komponen automotif kepada Perodua, komitmen ini dilihat positif dan bermanfaat kepada ekosistem, walaupun pada umumnya pertumbuhan industri automotif dijangka kecil pada tahun ini,” kata Presiden P2SA En Musa Zahidin Tan Sri Ahmad Zaidee.

Dalam kenyataan media baru-baru ini, Perodua telah mengumumkan sasaran jualan 231,000 kenderaan bagi tahun 2019, peningkatan 1.7% daripada 227,243 unit yang dijual pada 2018. Syarikat itu juga telah mengumumkan komitmennya untuk membeli komponen bernilai sekurang-kurangnya RM5.4 bilion pada tahun 2019 berdasarkan sasaran jualannya.

“Pertumbuhan ini amat memberangsangkan kerana industri hanya berkembang kira-kira 6% untuk tempoh Januari-April 2018 berbanding 2019, mengikut angka dalaman kami.

“Secara keseluruhannya, berdasarkan anggaran kami, industri berkembang kepada 193,200 unit untuk empat bulan pertama tahun ini daripada 182,200 pada tempoh yang sama tahun lepas – peningkatan sebanyak 11,000 unit.

“Dalam tempoh yang sama, jualan Perodua meningkat sebanyak 7,300 unit. Ini bermaksud sejumlah besar daripada pertumbuhan industri datang daripada Perodua,” En Musa berkata ketika Mesyuarat Agung Tahunan P2SA baru-baru ini.

En Musa berkata setakat ini, Perodua amat komited terhadap perkembangan ekosistem automotif domestik kerana kesemua modelnya mempunyai lebih daripada 90% kandungan tempatan secara purata.

Beliau berkata selain daripada jaminan pembelian komponen RM5.4 bilion oleh Perodua tahun ini, Perodua turut membantu ahli P2SA dalam memacu transformasi operasi.

 

 

“Kami sangat berterima kasih kepada Perodua di atas komitmen mereka yang jitu dalam menyediakan mobiliti berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia, dan pada masa yang sama terus berkhidmat kepada industri automotif dengan membangunkan sistem sokongan pembekal tempatan di bawah program-programnya.

“Salah satu contoh bagaimana Perodua membantu dan menyokong pembekal tempatan adalah pelaburannya dalam acuan (moulds) dan peralatan, secara tidak langsung mengurangkan kos keseluruhan pinjaman ahli kami, sejak Perodua Axia mula dikeluarkan pada tahun 2014 dan untuk setiap model selepasnya,” kata En Musa.

Di bawah inisiatif ini, Perodua akan membeli acuan dan peralatan yang diperlukan daripada pengeluar masing-masing untuk digunakan oleh pembekal dalam menghasilkan komponen. Pembekal seterusnya boleh menyelaras kos pengeluaran mereka kerana mereka tidak lagi perlu memohon pinjaman untuk membeli acuan atau peralatan.

“Kami juga berterima kasih kepada Perodua kerana mereka tidak pernah mengenakan caj untuk acuan dan peralatan tersebut, dan komitmen mereka selama ini amat dihargai.

“P2SA yakin Perodua dapat membangunkan dan mengukuhkan ekosistem automotif Malaysia berdasarkan rancangan mereka,” tambah En Musa.