Pesawah maut terkena pembajak traktor

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pesawah maut dipercayai terkena pembajak traktor yang dipandunya di Tebuk Haji Musa, Titi Serong, Parit Buntar, petang semalam.

Mangsa, Hirmi Abdul Rahman, 42, yang patah tangan kiri dan kaki kanan hancur disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, laporan kejadian diterima kira-kira pukul 7.15 petang.

 

"Setiba di lokasi, didapati mangsa terbaring di belakang jentera dan dalam keadaan ditutup kain.

 

"Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi akibat terkena pembajak jentera. Kaki kanan mangsa hancur kerana disyaki termasuk ke dalam pembajak jentera," katanya.

 

Juna berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa adalah seorang pesawah dan sering mengambil upah membajak di sekitar kawasan Titi Serong.

 

Mangsa katanya pada kebiasaan akan memulakan kerja-kerja membajak pada awal pagi sehingga petang dan akan dijemput pulang oleh isterinya.

 

Ujar beliau, petang semalam kira-kira jam 6.30 ketika isterinya mahu menjemput pulang didapati mangsa dalam keadaan cedera parah dan meminta bantuan kakaknya menghubungi pihak hospital.

 

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal oleh pasukan perubatan," katanya.

 

Allahyarham Hirmi meninggalkan seorang isteri yang sedang mengandung tujuh bulan dan tiga orang anak.