Petrol RON95 Euro 4M sama bagus dengan petrol RON97? Salah!

oleh HEZERI SAMSURI|
Hari ini berita mengenai petrol RON95 Euro 2M akan digantikan dengan petrol RON95 Euro 4M yang setanding dengan petrol RON97.

Kenyataan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Muez Abd Aziz itu mendapat respon "geleng kepala tepuk dahi" dari industri automotif dan juga syarikat petroleum.

Saya sendiri geleng kepala kerana dari merdeka sampai ke sudah, cif cif besar ini masih tak nak buat kajian dan menghafal dengan betul sebelum terus membuat kenyataan kepada media.


MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02


Bila salah, akan ada dua benda terjadi:

  • Mereka-mereka di agensi terbabit terpaksa memastikan ia akan berlaku. Contohnya jika menteri kata ada 100 orang menerima anugerah sedangkan cuma ada 10, agensi itu akan cari jalan untuk beri 100 anugerah juga. 
  • Jika itu tidak boleh dilakukan, contohnya KP kata bulan itu merah dan kos untuk mengecat bulan terlalu mahal serta roket pun tak siap masih bertapa di Georgetown, maka mereka akan kata "media misquote saya" atau pihak media tidak buat laporan tepat. 

Walaupun usaha itu memang baik dan Malaysia bakal menerima enjin-enjin yang lebih modern, berkuasa dan bersih, pemahaman berkaitan industri oleh seorang Ketua Setiausaha itu merunsingkan kerana mereka berada di tampuk pimpinan untuk menentukan halatuju negara.

Di bawah ialah keterangan ringkas dan mudah berkaitan RON dan Euro.

 

 

Apa itu RON?

RON bermaksud Research octane Number, iaitu satu sukatan yang mengukur tahap tahan ketukan (anti knocking resistance) di dalam enjin-enjin yang menggunakan palam pencucuh.

Dalam erti kata paling ringkas, sebuah enjin petrol mempunyai kadar RON minimum yang diperlukan. Kadar RON itu bergantung kepada pembuat enjin itu sendiri dan selalunya, sebelum sebuah kenderaan dilancarkan, enjin yang dipilih mesti mampu menggunakan petrol dengan kadar RON paling minimum yang dijual di dalam pasaran tersebut.

Contohnya jika Jenama A mahu menjual kenderaan di Malaysia, enjin petrol itu perlu mampu menggunakan bahan api dengan kadar RON95 kerana itu yang paling minima. 

Ada juga enjin-enjin berprestasi tinggi yang hanya menerima kadar RON97 ke atas, tetapi tidak banyak kerana tidak ramai yang akan membelinya.

Penggunaan RON yang salah mampu memudaratkan. Contohnya jika enjin itu memerlukan petrol dengan kadar minimum RON100, ia boleh mengalami kerosakan dalam jangka masa panjang jika RON97 atau RON95 sering digunakan.

Jika enjin anda pula memerlukan RON95 sebagai paling minima, menggunakan RON97 tidak akan memberikan sebarang kesan. 

Namun begitu, di Malaysia, petrol dengan RON97 atau tinggi sering diberikan aditif yang berlebihan agar memberikan impak prestasi yang lebih baik kerana harga bahan api itu lebih tinggi.

Jadi itu ialah RON - dan ia adalah keperluan teknikal untuk operasi enjin petrol.

 

 

Apa itu EURO?

Euro dalam bahan api merujuk kepada piawaian asap Eropah atau European Emission Standards.

Petrol atau diesel, kualiti bahan api memainkan peranan penting dalam kadar asap yang akan dihasilkan.

Tanpa piawaian Euro, asap dari kenderaan tidak akan terkawal dan pencemaran teruk akan berlaku.

Semasa bahan api Euro 1 diperkenalkan dalam tahun 1992 di Eropah, syarikat kenderaan di sana terpaksa memasang catalytic converter dan bahan api pula ditukar kepada tanpa plumbum (unleaded).

Ini agar kadar asap boleh lulus ujian piawaian Euro 1 ketika itu.

Kemudiannya ia meningkat kepada Euro 2 (1996), Euro 3 (2000), Euro 4 (2005), Euro 5 (2009), Euro 6 (2014) dan Euro 6d (2017).

Bahan api dengan kadar EURO yang lebih tinggi juga secara amnya boleh dikatakan lebih bersih. 

Contohnya, bahan api Euro 5 mempunyai kadar sulfur yang jauh lebih rendah dari bahanapi Euro 2.

Bahan api yang lebih "bersih" ini membolehkan kita menggunakan enjin yang lebih modern dan berprestasi tinggi.

Jadi sekiranya enjin anda ditala untuk penggunaan bahan api Euro 2, menggunakan bahan api Euro 5 tidak akan memberikan sebarang kesan langsung, kecuali jika aditif ditambah untuk "efek" ekstra.

Untuk Malaysia, piawaian Euro yang digunakan sedikit berbeza dan tidak dapat difahamkan secara tepat.

Ini ialah kerana penarafan Euro 2M tidak sama dengan Euro 2 yang digunakan oleh negara-negara lain. Samada ia lebih rendah atau lebih tinggi, tidak ada jawapan tepat.

Sama juga dengan petrol RON95 Euro 4M yang bakal dilancarkan bulan hadapan. Tidak ada kepastian samada ia lebih tinggi dari Euro 4 atau lebih rendah.

Diharapkan pihak kerajaan mampu tampil dan bercerita akan perkara sebenar bagaimana huruf M itu digunakan dan cara Malaysia membeli bahan api secara pukal dari pasaran global.

 

 

Anda boleh baca mana-mana risalah atau laman web syarikat minyak dan semuanya akan berkata penggunaan bahan api petrol RON95 Euro 4M akan memberikan kadar sulfur yang lebih rendah dan kadar pelepasan asap yang lebih bersih - tidak ada kaitan dengan penambahan tenaga langsung.

Ini sangat berbeza dengan kenyataan oleh Datuk Muez Abd Aziz itu yang berkata petrol RON95 Euro 4M merupakan petrol berkualiti setanding dengan RON97. Mungkin beliau tersilap tetapi ini adalah satu kesilapan faktual yang sangat besar.

Diharapkan agar kerajaan mengambil langkah lebih serius sebelum membuat sebarang pengumuman atau sebarang janji-janji kerana rakyat perlu informasi yang lebih tepat datang dari pihak kerajaan.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan terdapat tiga kaedah yang dipertimbangkan untuk pemberian…
Berita Domestik
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi…
Berita Domestik
Kempen ini terbuka kepada semua pemegang keahlian BHPetrol eCards dan sah bermula 1 Mac hingga 30…