Sumber Careta berkata syarikat baharu itu adalah satu syarikat berpengalaman yang sudah berjaya membawa naik sebuah jenama Jepun yang dahulunya sejuk tetapi kini menjadi antara empat jenama kereta Jepun yang terbaik di Malaysia dari segi penjualan.
Suzuki pula akan kembali di Malaysia dengan dua syarikat berbeza untuk mengendalikan produk motosikal dan juga produk kenderaan 4-roda.
Dari input sumber industri, motosikal Suzuki akan diedarkan oleh sebuah syarikat yang sebelum ini sudah berpengalaman mengedar jenama superbike Jepun sejak pertengahan tahun 1980-an. ia juga membuat pemasangan tempatan untuk produk Jepun itu di Malaysia.
Syarikat tersebut akan mengubah haluan dan mula mengedar jenama Suzuki pula.
Bagi kenderaan 4-roda Suzuki, sumber industri memberitahu ia akan muncul semula dengan satu produk sporti, Swift Sport, dan diikuti oleh model-model lain.
Ia akan diusahakan oleh sebuah syarikat besar yang mempunyai pengalaman dalam pengedaran produk-produk CKD dan CBU untuk kereta dan motosikal.
Kesemua pengumuman-pengumuman ini dijangka akan dilakukan dalam tahun ini juga.