Bermula dari situ, kesemua kereta konsep Peugeot tampil dengan i-Cockpit® yang kemudian mempengaruhi reka bentuk kenderaan massa.
Sebagai contoh model konsep EXALT adalah inspirasi kepada papan pemuka Peugeot 508 dan senibina i-Cockpit® di dalam model konsep FRACTAL pula mempengaruhi reka bentuk akhir Peugeot 208 baharu.
i-Cockpit® sebenarnya tidak merujuk kepada papan pemuka atau bentangan suis kawalan sahaja tetapi merangkumi beberapa komponen utama seperti berikut:
- Saiz stereng kompak.
- Paparan instrumen head-up.
- Skrin sesentuh Definisi Tinggi (HD) pada jangkauan jari dan selari dengan pandangan mata
- Suis kawalan bentuk piano atau toggle yang membolehkan akses secara langsung dan kekal kepada fungsi keselesaan utama.
Sejak pertama kali diperkenalkan pada Peugeot 208, i-Cockpit® sentiasa berevolusi dan pada yang masa mengekalkan komponen utamanya.
Selain komponen di atas, i-Cockpit® menggunakan aturan tiga aras untuk ergonomik yang sempurna dan keselesaan pemanduan. Berikut ialah tiga aras yang dimaksudkan:
- Mata - Maklumat dipaparkan pada lingkungan garis mata supaya pemandu tidak perlu mengalihkan pandangan dari jalan raya
- Tangan - Bahan yang digunakan sedap untuk disentuh dengan kawalan fizikal atau taktil (tactile) di posisi bersesuaian. Transmisi EAT8 dengan teknologi alihan gear dan parkir by wire pula bersifat intuitif dan ergonomik.
- Badan - Bahagian penumpang direka seperti kokpit yang mengelilingi manakala kerusi depan memberikan keselesaan dan sokongan yang bagus.
Apa kaedah digunakan Peugeot dalam membina kualiti dan keselesaan i-cockpit® yang baik?
Syarikat mengambil kira ergonomik, kebolehlihatan (visibility) dan senibina bagi memastikan kesemua jenis badan selesa dengan kebolehlihatan ke luar secara maksimum.
Untuk itu, Peugeot menggunakan data antropometri (ukuran tubuh manusia yang diambil kira dalam penghasilan sesuatu reka bentuk) yang dikaji pada skala global.
Ianya bukan mengenai ketinggian pemandu tetapi aspek yang perlu dinilai ialah nisbah dada kepada kaki.
Sebagai contoh seseorang individu mempunyai ukuran badan utama (torso) lebih panjang berbanding kaki mereka. Untuk sesetengah yang lain, ukuran itu berlawanan.
Contoh mudah apabila tinggi purata seseorang individu ialah 1.76 meter, ukuran badan utama mereka berbeza dari 87 cm hingga 98 cm.
Ini semestinya memberi impak pada kedudukan penglihatannya.
Data antropometri yang ada membolehkan Peugeot mengira julat pelarasan kerusi atau stereng.
Ini membolehkan pemandu merasa seperti di dalam kepompong kokpit dan mengoptimumkan ergonomik dalaman tanpa mengira saiz pemandu.
Jadi, tidak menghairankan apabila kerusi pemandu dan reka letak kenderaan Peugeot terasa selesa sebaik sahaja pemandu berada di dalam.
Berikut pula ialah senarai model Peugeot yang menggunakan i-Cockpit®:
- 208 dan e-208 baharu
- SUV 2008 dan SUV e-2008 baharu
- 308 dan 308 SW
- SUV 3008 dan SUV 5008
- 508 dan 508 SW baharu
- Rifter
Evolusi terbaru Peugeot ialah i-Cockpit® 3D yang digunakan di dalam 208 baharu pertama di dunia untuk segmennya.
Gugusan instrumen i-Cockpit® 3D memaparkan maklumat seperti hologram dan beranimasi.
Maklumat yang dipaparkan boleh menghampiri mata pemandu berdasarkan tahap kepentingannya dan berupaya meningkatkan reaksi pemandu setengah saat lebih cepat.
Hebat bukan? Tanpa teknologi paparan canggih pun bentangan papan pemuka dan posisi duduk pemandu Peugeot sudah istimewa.
Selesa dan pemanduan tidak memenatkan itu faktor penting dalam pemilikan kereta untuk satu tempoh yang lama.
Penulis: Muhammad Md Tajudin