Beliau berkata undang-undang sedia ada terhadap kesalahan pemandu positif dadah didapati kurang tegas dan sepatutnya perlu dihukum seperti kesalahan pemandu mabuk di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun.
“Pemandu yang mengambil dadah, kita hanya boleh dakwa sekiranya mereka mengakibatkan kemalangan jalan raya.
“Manakala pemandu yang dikesan menagih dadah tetapi tidak menyebabkan kemalangan hanya boleh digantung lesen dan tidak boleh didakwa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran dan Ekspres) di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gombak, pada Selasa.
Menurut Loke perkara itu perlu dikaji semula kerana tidak wajar untuk menunggu sehingga kemalangan berlaku baru tindakan tegas diambil terhadap pemandu yang mengambil dadah.
“Pemandu seperti ini mesti dicegah dan diberhentikan serta disenarai hitam daripada sistem jalan raya,” katanya.
Beliau berkata Operasi Khas Kenderaan Perdagangan selama lima hari bermula 1 Ogos lepas merekodkan seramai 21 pemandu positif dadah hasil pemeriksaan saringan ujian air kencing terhadap 276 pemandu kenderaan perdagangan.
“Ini bermakna dalam setiap 13 pemandu terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila menjalankan tugas sebagai pemandu di jalan raya. Ini adalah keadaan yang amat membimbangkan,” katanya.