PKP - Jalan Jelebu-Hulu Langat ditutup kepada umum

oleh Mohamad Hanif|
Jalan utama menghubungkan daerah Jelebu dengan Hulu Langat, Selangor ditutup hari ini sebagai langkah mengekang penyebaran COVID-19 di daerah itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Nurul Huda Musa berkata penutupan itu juga selari dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkan kerajaan semalam bagi kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Arahan PKPD dikeluarkan bagi kawasan itu apabila 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di kawasan tersebut.

"Jalan Genting Peres ke Hulu Langat ini laluan utama dari kawasan itu ke Jelebu. Pada mesyuarat Jawatankuasa Bencana pagi tadi dan cadangan daripada Ketua Polis Daerah Jelebu, kita ambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang kemasukan orang luar daerah ke Jelebu bagi elak penularan COVID-19 ke daerah ini.

"Jalan yang ditutup ini berada kira-kira 25 kilometer dari Hulu Langat," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD yang berkuat kuasa hari ini sehingga 13 April itu, melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 10 lagi kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 172 kes.

Sumber: Bernama