PLUS - Kemalangan kenderaan berat naik 5.0 peratus

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Kemalangan membabitkan kenderaan berat (Kelas 2 dan 3) dilihat meningkat sebanyak 5.0 peratus berbanding tahun 2019 biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Azman Ismail berkata, terdapat pengurangan jumlah trafik disebabkan oleh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat serta selari dengan itu, terdapat pengurangan jumlah kemalangan di lebuh raya PLUS

 

Katanya, merujuk kepada kesan PKP terhadap keselamatan jalan raya, pihaknya melihat kemalangan kenderaan berat mencatatkan peningkatan.

 

"Faktor menyumbang kepada peningkatan itu termasuk tempoh bekerja yang berlanjutan serta kurang mendapat rehat yang cukup.

 

"Ini memberi kesan terhadap kesihatan kendiri mereka dan seterusnya memberi impak terhadap pemanduan mereka," katanya dalam kenyataan semalam.

 

Perkara itu dikongsi Azman menerusi program Hari Keselamatan 2020 yang julung kali diadakan secara maya oleh PLUS.

 

Acara itu dihadiri lebih 2,000 peserta di kalangan warga PLUS, syarikat konsesi lebuh raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pelbagai agensi lain.

 

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, syarikat besar dan bidang perniagaan turut terkesan apabila PKP diperkenalkan selain langkah bekerja dari rumah (BDR) yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan dan mengehadkan interaksi secara fizikal.

 

Katanya, BDR menyebabkan banyak permintaan perkhidmatan penghantaran ke rumah.

 

"Dengan bilangan kenderaan yang rendah di jalan raya, saya juga melihat ramai yang tergesa-gesa untuk menghantar makanan secepat mungkin.

 

"Ini sehingga menyebabkan mereka melanggar undang-undang jalan raya seperti tidak mematuhi lampu isyarat dan sebagainya," katanya.

 

gambar hiasan

 

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) Datuk Suret Singh pula berpendapat satu langkah yang berkesan termasuk audit perlu dilaksanakan terhadap operator kenderaan berat dalam mematuhi Kod Keselamatan Industri yang menjadi komponen penting syarat pengeluaran lesen operator.

 

Suret berkata, perbuatan menukar lorong secara tiba-tiba secara berbahaya serta kegagalan mematuhi lampu isyarat perlulah dibincangkan ke dalam prosedur operasi standard yang bakal dilaksanakan.

 

"MIROS telah berbincang dengan pemain industri utama untuk mewujudkan agenda bersama dan pelan tindakan yang sewajarnya untuk mendidik penghantar perkhidmatan makanan, memantau tindakan dan memperbaiki aspek pengawasan," katanya.

 

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Psikologi, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata, era pandemik Covid-19 juga memberi kesan terhadap kesihatan mental.

 

Beliau berkata, terdapat banyak kajian dilakukan mengenai impak kesihatan mental terhadap keselamatan jalan raya di mana ia membuktikan bahawa kesihatan boleh menyumbang kepada kenaikan jumlah insiden trafik.

 

"Tekanan dan tidur yang tidak mencukupi adalah isu kesihatan mental yang seringkali menyumbang kepada masalah di jalan raya.

 

"Bagi setiap individu, memahami status kesihatan mental mereka berupaya menyelamatkan nyawa mereka dan juga orang lain.

 

"Oleh demikian, peranan masyarakat untuk mengenal pasti dan mengatasi masalah ini amatlah penting," katanya.

 

 

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Beliau berkata, selain pembinaan infrastruktur mengecas EV di lebuh raya PLUS, TNB juga akan…
Berita Domestik
Plus melalui satu kenyataan berkata, kesemua 560 pelanggan RFID tersebut telah memenangi 10,000…
Informasi
  "PLUS sentiasa melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan…