PLUS: Pengguna disaran berlepas sebelum 10 pagi untuk elak kesesakan balik kampung

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pengguna dari Lembah Klang yang akan pulang ke kampung yang jauh pada 29 April hingga 2 Mei ini bagi perayaan Aidilfitri supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.


Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata pihaknya juga menyarankan orang ramai mematuhi jadual perjalanan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada 29 April hingga 9 Mei 2022 dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Memandangkan ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, kami menjangka kira-kira dua juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya kami.

 

"Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan ia mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar.

 

"Orang ramai yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi. Bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1 tengah hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Zakaria berdasarkan kajian pihaknya mendapati bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pelanggan lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini.

 

 

 

"Berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, bagi pelanggan lebuh raya dari utara ke Lembah Klang, mereka dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9 pagi.

 

"Tempoh perjalanan dari selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga tujuh jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9 pagi," katanya.

 

TTA yang dikeluarkan PLUS bagi perjalanan di lebuh raya pada 29 April hingga 9 Mei depan ini juga bertujuan mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat sekali gus mengurangkan kesesakan.

 

"Ia direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pelanggan lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan akan datang.

 

"TTA ini direka untuk mengelak trafik yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada 'bertembung' dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat. Dengan mematuhi TTA ini, ia boleh memberikan perbezaan yang lebih baik kepada pengalaman dan tempoh perjalanan anda, insya-Allah," katanya.

 

Tambahnya selain jadual TTA, pelanggan lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.

 

Pelanggan lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara.

 

PLUS juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sampai ke destinasi untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

 


Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Rawi, masalah utama Smart Lane ialah ramai pengguna yang tidak tahu laluan kecemasan di…
Berita Domestik
Sehubungan dengan itu, pihak PLUS akan mengaktifkan SmartLane di 14 lokasi tumpuan trafik…
Berita Domestik
MyPLUS-TTA merupakan sebuah aplikasi berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan polar perjalanan…