PLUS Sediakan 112 Poin Pengecas EV di Lebuhraya, Lebihi Sasaran 2025

oleh Qalif Latif|
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kini mempunyai sebanyak 112 poin pengecas kenderaan elektrik (EV) yang beroperasi di sepanjang lebuh raya kendaliannya termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), melepasi sasaran awal 100 poin pengecas menjelang akhir tahun 2025 .

Kemudahan ini ditempatkan secara strategik di kawasan Rehat & Rawat (R&R), hentian sebelah serta stesen minyak terpilih bagi memastikan pemilik EV mudah mengakses perkhidmatan pengecasan .

Seiring Agenda Mobiliti Hijau

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata inisiatif ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Hijau PLUS 2.0dan menyumbang kepada sasaran nasional 1,000 poin pengecas pantas menjelang 2025 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (2021-2030).

Sebahagian daripada poin pengecas EV turut dilengkapi bumbung solar serta sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS),” jelas beliau .

PLUS juga merancang membuka Hab EV Lebuhraya pertama di Malaysia di R&R Seremban (arah selatan) menjelang suku pertama 2027. Projek ini dibangunkan melalui kerjasama anak syarikat PLUS, Terra PLUS Sdn Bhd dengan Green EV Charge. Selain itu, projek perintis “Charge and Chill” yang menggabungkan kemudahan F&B dengan infrastruktur pengecasan bakal dilancarkan di beberapa plaza tol terpilih menjelang 2025 .

Ciri Teknologi Pantas dan Serasi

Menurut Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran, semua poin pengecas yang dipasang ialah DC Fast Charger (DCFC) dengan output antara 47 kW hingga 200 kW. Ia mampu mengecas sehingga 80% kapasiti bateri dalam tempoh 15 hingga 30 minit, bergantung kepada spesifikasi kenderaan. Kesemuanya menggunakan penyambung CCS2 universal yang serasi dengan majoriti jenama EV di pasaran .

Kemudahan Lengkap untuk Pengguna EV

Pengguna EV yang mengecas di R&R turut menikmati pelbagai kemudahan seperti restoran, kedai serbaneka, surau, tandas serta ruang menunggu berbumbung. Lokasi dan status pengecas boleh disemak melalui aplikasi mudah alih PLUS serta aplikasi rakan pengendali seperti JomCharge, Gentari Go dan ChargEV App.

PLUS menjelaskan kadar penggunaan purata pengecas EV di lebuh raya tahun ini berada pada tahap baik dan dijangka terus meningkat seiring pertumbuhan pemilikan EV di Malaysia .


 

Berita Berkenaan

Informasi
“Dengan penambahbaikan terbaharu, MyPLUS-TTA kini boleh diakses pada hari-hari puncak terpilih. Ia…
Informasi
Pengendali lebuh raya itu, mengingatkan MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS sudah ditambah baik bagi…
Informasi
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, penutupan secara berperingkat di Kilometer 296.5 menuju ke…