PLUS uji 'Smartlane' di laluan USJ-Seafield bermula 1 Jun

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari PLUS
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengadakan ujian rintis awam 'SmartLane' bermula esok bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan USJ-Seafield terutama pada waktu puncak di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).


Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, ujian rintis awam itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya.

"Ujian rintis awam laluan 'SmartLane' ini akan dilaksanakan di laluan USJ ke Seafield antara Kilometer (KM)8.1 hingga KM6.1 (arah utara) di lebuh raya ELITE.

"Ia bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi setiap hari Isnin hingga Ahad (kecuali hari kelepasan am) bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos 2023," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusuf berkata, sepanjang tempoh itu, lorong paling kiri sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada dan membantu melancarkan trafik pada waktu puncak pagi.

"Ketika laluan 'SmartLane' ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan.

"Bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan atau laluan kecemasan di lokasi lain di mana tiada laluan 'SmartLane' diaktifkan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kajian dan rekod PLUS, pertembungan trafik serta keadaan jalan yang sedikit mendaki menyebabkan peningkatan trafik yang tinggi dan sedikit perlahan di laluan terbabit.

"Disebabkan itu, langkah proaktif PLUS melaksanakan ujian rintis awam laluan 'SmartLane' di kawasan terbabit adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dihadapi orang ramai pada waktu puncak setiap pagi pada hari bekerja di Lebuhraya ELITE selain membantu PLUS memperbaiki tahap perkhidmatan kami di lebuh raya," katanya.

Beliau berkata, PLUS juga sudah melakukan pelbagai persediaan untuk melaksanakan inisiatif itu dengan pemantauan oleh anggota polis, JPJ dan pasukan PLUSRonda.

"Ini termasuk memasang papan tanda trafik selain menyediakan trak tunda tambahan di lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

"Secara purata, kira-kira 75,000 kenderaan menggunakan laluan USJ-Seafield di Lebuhraya ELITE pada setiap hari.

Daripada jumlah itu, 58 peratus menggunakan laluan terbabit secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi," katanya.

Katanya, laluan 'SmartLane' dijangka dapat memendekkan tempoh perjalanan di laluan terbabit pada waktu puncak sekiranya tiada sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan terbabit.

"Pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan 'SmartLane' ini melalui papan tanda serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik.

"Pada masa sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit," katanya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sehubungan dengan itu, pihak PLUS akan mengaktifkan SmartLane di 14 lokasi tumpuan trafik…
Informasi
Sebagai langkah proaktif, PLUS telah menambah pasukan PLUSRonda untuk melakukan rondaan tambahan di…