“Sejak 3 dekad yang lalu, Wira Lebuh raya PLUS yang memakai seragam biru ini telah banyak menyelamatkan nyawa dan membantu para pelanggan yang mengalami masalah ketika berada di lebuh raya, sama ada mengalami tayar pancit, kenderaan rosak, membantu pelanggan lebuh raya melahirkan bayi sehinggalah membantu warga emas berjalan dari kereta ke laluan masuk Kawasan Rehat & Rawat (R&R).
Mereka juga turut diberikan pujian oleh orang awam di media sosial. Terbaharu, apabila pasukan PLUSRonda turut berjaya membantu pelanggan lebuh raya yang mengalami kerosakan kenderaan dan pada masa sama terpaksa bergegas mengejar penerbangan ke lapangan terbang. Ianya bertepatan dengan usaha syarikat yang sentiasa ‘Komited Menjaga Pelanggan di Sepanjang Perjalanan’ dan Wira Lebuh raya ini membuatkan syarikat sentiasa bangga dengan pengorbanan dan komitmen mereka dalam membuat sesuatu yang lebih baik,” jelas Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.
PLUS telah mengorak langkah menerusi transformasi digital secara berperingkat sejak tahun 2017.
Pasukan PLUSRonda juga telah melalui transformasi teknologi digital apabila di setiap kenderaan mereka diletakkan perakam video bagi merakam sebarang insiden. Selain itu, inovasi terbaharu iaitu PLUSRonda Intelligent Management System (PRIME) yang menggantikan Borang Catatan PLUSRonda untuk merekod sebarang insiden di lebuh raya berupaya menjimatkan masa dan membolehkan pasukan PLUSRonda lebih fokus untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik ketika berhadapan dengan sebarang insiden.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, “Selama 31 tahun sejak penubuhan pasukan PLUSRonda, dengan adanya teknologi PRIME ini, ia amat penting bagi membolehkan pasukan PLUSRonda berkomunikasi secara terus dengan Pusat Kawalan Trafik PLUS bagi mengkoordinasi bantuan kepada pelanggan lebuh raya.
Selain itu, PRIME juga bukan hanya sekadar menggantikan penggunaan borang yang merekod secara manual, malah teknologi ini mampu menyumbang perkhidmatan yang lebih berkesan, efisien serta meningkatkan produktiviti.
Pada masa yang sama, kami juga memodenkan kenderaan rondaan PLUSRonda yang sedia ada dengan memasang peranti yang lebih canggih serta ciri-ciri yang lain bagi memastikan mereka dapat membuat rondaan dan memantau lebuh raya dengan lebih selamat dan efektif.”
Seramai 589 anggota PLUSRonda bertekad akan terus berusaha dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.
Bertugas selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari dalam setahun meliputi jajaran Lebuh raya PLUS serta LPT2. Mereka juga turut bekerja rapat dengan pasukan Peronda Lebuhraya PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan dan agensi penguatkuasaan yang lain dalam memastikan lebuh raya PLUS selamat digunakan.
‘Walau Ketika Pandemik, PLUSRonda Tetap Dinamik’, merupakan tema ulang tahun PLUSRonda bagi tahun ini yang juga bertepatan dengan negara yang masih berusaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan bersesuaian dengan norma baharu.
Berikutan dengan kehidupan norma baharu yang telah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masa kini serta pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan, pasukan PLUSRonda tetap memastikan tugasan mereka dilaksanakan walaupun ketika berdepan dengan cuaca hujan mahupun panas. Maka, tujuan utama bagi meraikan Wira Lebuh raya ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
Selamat Hari PLUSRonda yang ke-31!