Dalam kenyataan pada Jumaat, PNB berkata kajian strategik terhadap pelaburan dalam Prolintas sedang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio berkala.
"Inisiatif ini bertujuan mengenal pasti peluang untuk meningkatkan nilai jangka panjang demi manfaat pemegang unit," katanya.
PNB menjelaskan, kajian itu merangkumi pelbagai pilihan termasuk mengekalkan pemilikan aset atau membawa masuk rakan strategik.
"Semua keputusan pelaburan dibuat berasaskan tadbir urus yang teliti, selaras dengan mandat dan objektif pelaburan jangka panjang PNB. Dalam menilai pilihan yang ada, kepentingan penyertaan bumiputera, institusi serta rakyat akan kekal menjadi keutamaan," tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, PNB berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut ketika ini dan sebarang perkembangan penting akan diumumkan melalui saluran yang sesuai mengikut keperluan kawal selia.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM Corp Bhd, Datuk Lee Chun Fai, mengesahkan syarikat itu mengemukakan cadangan untuk mengambil alih aset lebuh raya milik PNB selepas dijemput menyertai proses permintaan cadangan (RFP).
Sebelum ini, PNB dilaporkan sedang menilai penjualan portfolio lebuh raya tol di bawah Prolintas iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta 51 peratus pegangan dalam Prolintas Infra Business Trust.
Pada Julai lalu, IJM Corp dan AFA Prime Bhd dilaporkan antara pihak berminat dengan aset lebuh raya tersebut.