Polis Johor - Enam pelumba 'drag racing' dan 120 penonton ditahan

oleh SALINA JALIL|
gambar ihsan dari PDRM
Enam pelumba 'drag racing' serta 120 penonton perlumbaan haram ditahan dalam operasi khas di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, berhampiran Plaza Tol Skudai, awal pagi Ahad.


Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejayaan penahanan enam pemandu itu adalah hasil risikan polis selama sebulan selepas menerima aduan pengguna lebuh raya.

 

Katanya, operasi yang bermula jam 2 pagi itu membabitkan 60 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata, sebuah bas kilang turut digunakan bagi menutup laluan lebuh raya itu bagi memastikan semua pelumba dan penonton yang membabitkan 105 lelaki dan 19 wanita itu berusia antara 18 hingga 45 tahun tidak dapat melepaskan diri.

"Polis melakukan pemerhatian dan risikan sejak sebulan lalu selepas menerima aduan pengguna lebuh raya berhubung aktiviti drag racing yang diadakan bukan saja membahayakan pengguna lain malah mereka turut menghalang laluan dengan menutup jalan sesuka hati ketika perlumbaan diadakan.

 

"Hasil pemerhatian polis mendapati aktiviti perlumbaan haram ini biasanya diadakan pada hujung minggu atau hari biasa tertentu antara jam 1 hingga 4 pagi.

 

"Mereka akan berlumba sejauh antara 700 hingga 900 meter selepas dilepaskan 'gadis litar' dari garisan permulaan bagi menguji kelajuan enjin kereta yang diubahsuai.

 

"Polis percaya perlumbaan ini didalangi sindiket dan kita sedang menyiasat setiap aspek bagi memastikan dalangnya ditahan," katanya pada sidang media di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

 

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, semua enam pemandu itu yang berusia antara 22 hingga 25 tahun akan direman bermula hari ini bagi disiasat mengikut Seksyen 42 Kanun Keseksaan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 81 APJ 1987.

 

Katanya, 120 penonton perlumbaan itu turut menjalani saringan air kencing sebelum dilepaskan atas jaminan polis.

 

kilang
Bas kilang digunakan bagi menutup laluan lebuh raya untuk memastikan pelumba dan penonton gagal melepaskan diri. FOTO ihsan polis

 

"Seorang pemandu dan dua penonton turut didapati positif dadah, turut akan direman atas kesalahan dadah," katanya.

 

Kamarul Zaman berkata, polis turut akan menyiasat unsur perjudian dalam perlumbaan itu.

 

"Polis percaya ada unsur ganjaran wang tunai selain wanita digunakan sebagai hadiah kepada pemenang.

 

"Kita sangat memandang serius aktiviti haram ini kerana ia membabitkan nyawa pengguna jalan raya lain kerana perlumbaan ini membabitkan kelajuan yang sangat tinggi dan tidak selamat kepada pengguna jalan raya.

 

"Penonton juga berdepan dengan tindakan tegas termasuk pendakwaan jika ditahan," katanya.

 

 

 

Harian Metro