Polis Johor panggil 10 pemandu konvoi kenderaan mewah halang lalu lintas

oleh SALINA JALIL|
Polis Johor akan memanggil 10 individu yang terbabit dalam insiden konvoi kenderaan mewah yang memberhentikan kenderaan mereka di Kilometer 34 Lebuhraya Utara Selatan, Jumaat lalu.


Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kesemua individu akan dipanggil bagi dirakamkan kenyataan mereka berhubung insiden berkenaan bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, petang semalam.

 

Katanya, ia berikutan pemandu wanita berusia 28 tahun yang memandu sebuah pacuan empat roda 4x4 dan terbabit dalam insiden berkenaan membuat laporan polis dan mengadu dipukul individu yang menyertai konvoi kereta mewah.

 

"Berhubung isu viral iaitu konvoi kenderaan mewah yang menghalang laluan, 18 Mac lalu, saya telah arahkan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, melakukan siasatan terperinci.

 

"Seramai 10 individu akan dipanggil untuk memberi kenyataan petang ini berikutan pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati terdapat antara 10 atau lebih individu terbabit dalam insiden kekecohan selain menghalang lalu lintas di lebuh raya berkenaan Jumaat lalu.

 

"Polis akan membuka tiga kertas siasatan mengikut kesalahan iaitu merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu,"katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

 

Terdahulu, pemandu wanita berkenaan dilaporkan ditahan di pekarangan IPD Kulai pada jam 1 pagi Isnin.

 

Wanita itu kini dilaporkan ditahan reman tiga hari bermula semalam selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

 

Sabtu lalu, kejadian itu tular di media sosial satu video berdurasi satu minit 14 saat yang menunjukkan sebuah Ford Ranger dipandu secara merbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah kenderaan daripada kumpulan konvoi Lamborghini.

 

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kilometer 34 Lebuhraya Utara-Selatan menghampiri susur keluar Sedenak, di sini pada jam 6.10 petang, 18 Mac lalu.

 

Dalam satu kenyataan berasingan, Beng Yeow dilaporkan berkata, pemandu Ford Ranger itu cuba memotong konvoi kenderaan Lamborghini secara zig zag sebelum berlanggar dengan sebuah kereta yang menyertai konvoi ketika cuba memasuki lorong kiri.

 

"Disebabkan pelanggaran ini, konvoi Lamborghini berkenaan tidak berpuas hati dan telah menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya sebelum berlaku perselisihan faham di antara pemandu Ford Ranger dan kumpulan berkenaan," katanya.

 

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan awal juga mendapati punca insiden terbabit berlaku disebabkan wanita yang memandu pacuan empat roda Ford Ranger dipercayai panik sebelum berlaku perlanggaran.

 

"Wanita berusia 28 tahun itu turut dipukul pemandu kenderaan mewah ketika dihalang berada di Kilometer 34 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, pada jam 6.10 petang," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kembara dua-dalam-satu itu akan menggandingkan cabaran mengendalikan trak pikap Ranger mereka…
Berita Global
Tidak seperti model Ranger, Ford Everest 2023 hanya akan ditawarkan dengan penawaran enjin diesel…
Berita Domestik
Slot yang dijadualkan pada 26 Mac 2022 ini merupakan pakej bimbingan pengalaman off-road selama…