Polis Marin kesan lori seludup 727 tayar kenderaan mewah bernilai RM697,759

oleh SALINA JALIL|
gambar dari Utusan Malaysia
Polis mematahkan cubaan menyeludup masuk tayar pelbagai jenama bagi kenderaan mewah dalam satu serbuan yang dijalankan di Plaza Tol Kempas, di sini, 28 Oktober lalu.


Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan tersebut dibuat selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua mengesan lori berkenaan ketika memasuki negara melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Katanya, lori berkenaan dikesan keluar dan masuk ke Malaysia dengan diikrarkan sebagai sebuah lori bermuatan kosong.

 

“Ketika pemeriksaan dibuat terhadap lori berkenaan pada pukul 5.35 petang, didapati ia membawa muatan sejumlah 727 tayar pelbagai jenama bernilai RM697,759 yang tidak bercukai.

 

“Sehubungan itu, pemandu lori yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan. 

 

“Berdasarkan siasatan dibuat terhadap suspek, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun di sebuah premis di Taman Sri Skudai, di sini pada pukul 6.05 petang, keesokan harinya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PPM Wilayah Dua.

 

Menurut Ayob Khan, suspek kedua yang ditahan adalah majikan kepada suspek pertama dan individu terbabit bertanggungjawab menguruskan segala urusan membawa tayar tidak bercukai memasuki Malaysia dari Singapura.

 

“Siasatan awal dibuat mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

 

“Suspek pertama ditahan reman tujuh hari manakala suspek kedua direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya yang percaya mereka sudah melakukan aktiviti itu sejak lebih enam bulan lalu.

 

Tambah beliau, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mencari dalang aktiviti penyeludupan berkenaan kerana modus operandi mereka adalah menggunakan laluan yang dikawal jabatan berkenaan.

 

“Isunya adalah bagaimana suspek boleh memiliki kad akses yang membenarkan lori tersebut melalui laluan kenderaan yang diisytiharkan tanpa muatan.

 

“PPM Wilayah Dua akan terus meningkatkan operasi dan mengetatkan kawalan di perairan negara daripada dibolosi sindiket penyeludupan kerana kita percaya modus operasi dan taktik sindiket seumpama ini sering diubah-ubah. 

 

“Ini antara kes yang dikesan melibatkan tayar, sebaliknya mungkin masih banyak lagi aktiviti penyeludupan melibatkan kontraban lain seperti arak, rokok dan dadah,” jelasnya.

 

 

 

– UTUSAN ONLINE 

Berita Berkenaan

Informasi
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan sesetengah pihak yang menghalang orang…
Berita Domestik
"Bermula hari ini (Selasa), pihak polis akan membuat pemantauan lebih awal iaitu sebelum waktu…
Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dengan sengaja meletakkan kenderaannya di tepi jalan…