Polis tahan tiga minah rempit buat aksi superman di lebuh raya

oleh Firdaus Razani|
Tular video klip tiga gadis yang mempamerkan aksi 'Superman' ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan, ditahan polis semalam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebelum itu, video klip memaparkan aksi mereka meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang atau gaya 'Superman di lebuh raya terbabit, tular di laman sosial. 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata pihaknya mengesan video klip dimuat naik di aplikasi X, jam 5.34 petang Ahad lalu.

"Klip video itu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang di lebuh raya terbabit. 

"Bertindak atas maklumat itu, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Trafik Daerah (BSTD) Melaka Tengah membuat tangkapan terhadap tiga remaja perempuan di sekitar Bandar Melaka, semalam.

"Mereka berusia 16 hingga 18 tahun. Motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

 

bh

 

Mohd Azman berkata, hasil soal siasat mendapati semua suspek dari kelab motosikal 'Awek Melaka' dan menetap di negeri berkenaan.

"Sebelum kejadian, difahamkan suspek dalam perjalanan pulang secara konvoi dari sebuah kedai makan di Serdang, Selangor. Suspek mengaku menjadikan lebuh raya itu sebagai lokasi melakukan aksi berbahaya berkenaan kerana terpengaruh antara satu sama lain," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya juga mengeluarkan tujuh saman terhadap suspek terbabit atas pelbagai kesalahan. 

"JSPT akan sentiasa melaksanakan operasi mencegah samseng jalanan secara berterusan bagi membanteras kegiatan itu yang membahayakan keselamatan orang ramai. 

"Pada masa sama, JSPT komited untuk menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi penunggang motosikal yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang lalu lintas," katanya.

 

SUMBER : BH Online