Polis tembak tayar treler, tahan lelaki pandu 'zig-zag'

oleh SALINA JALIL|
Polis melepaskan dua tembakan bagi menahan pemandu lori treler yang enggan berhenti, sebaliknya memecut dan memandu secara zig-zag di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) di sini, pagi semalam,
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ekoran itu, polis terpaksa menembak tayar lori treler membawa muatan batu berlebihan, sebelum menahannya di Kilometer 7 lebuh raya berkenaan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan dalam kejadian 7.45 pagi itu.

 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata pemandu itu enggan berhenti walaupun diberi amaran oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor.

 

"Semasa operasi dijalankan polis trafik mengesan lori treler membawa muatan batu disyaki melebihi had.

 

"Anggota trafik menggunakan pembesar suara dan menyalakan lampu biru serta membunyikan siren amaran supaya pemandu lori itu memberhentikan kenderaan tetapi ia tidak dihiraukan.

 

"Malah, pemandu terbabit terus memecut laju menghala ke lorong masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Mohd Padzli berkata, anggota trafik mengejar lori yang dipandu berbahaya dan secara zig zag, malah menghimpit kenderaan polis.

 

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan pada tayar lori berkenaan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk kepada pengguna jalan raya.

 

"Pemandu itu memberhentikan kenderaannya kerana dua tayar trelernya pecah. Dia cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dalam sekitar 100 meter dari lokasi kejadian.

 

"Suspek tiada rekod jenayah lampau tetapi mempunyai sembilan rekod saman kesalahan trafik. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

 

"Suspek didapati membawa muatan melebihi had dan lesen kenderaan barangan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) tamat tempoh," katanya.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 45 APJ 1987, Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Seksyen 307, Seksyen 186 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

 

 

Laporan dari Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut laporan Harian Metro, kejadian tersebut berlaku pada jam 8.15 pagi membabitkan sebulan buah…
Berita Global
Menurut laporan Florida Highway Patrol, kemalangan maut itu berlaku sebelum jam 2 petang pada hari…
Berita Domestik
Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah pemandu kereta, Muhammad Rosli Ibrahim,32; isterinya, Nor…