Porsche 718 elektrik mungkin terkubur

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Masa depan kereta sports elektrik Porsche kini berada dalam keadaan samar apabila projek pembangunan Porsche 718 Cayman dan Boxster versi elektrik dilapor berdepan risiko untuk dihentikan sepenuhnya.

Menurut laporan terbaharu, kos pembangunan yang semakin meningkat serta kelewatan jadual menjadi faktor utama yang menekan kesinambungan projek tersebut.

Situasi ini timbul seiring dengan perubahan kepimpinan tertinggi Porsche apabila syarikat itu melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Dr. Michael Leiters pada 1 Januari 2026.

Difahamkan, Leiters sedang menilai semula hala tuju strategik Porsche, termasuk kemungkinan menggantung atau membatalkan terus pembangunan model sports elektrik tersebut.

Menurut laporan Bloomberg, projek 718 elektrik kini dibelenggu oleh kos yang melonjak dan masalah pembangunan yang berpanjangan.

Sebelum ini, Porsche telah menamatkan pengeluaran generasi lama 718 Cayman dan Boxster pada Oktober lalu, dengan perancangan asal untuk memperkenalkan versi elektrik seawal tahun ini, namun pelan tersebut kini dilihat semakin tidak menentu.

 

2

 

Isu kelewatan pembangunan sebenarnya telah mula kedengaran sejak Disember 2024, apabila seorang jurutera Porsche dipetik menyatakan bahawa projek berkenaan “jauh ketinggalan daripada jadual asal”.

Beberapa bulan kemudian, laporan lain mendakwa Porsche terpaksa menghentikan sementara pembangunan susulan kebankrapan Northvolt, pembekal bateri yang terlibat dalam projek tersebut.

Menariknya, pada September lalu Porsche mengesahkan bahawa generasi baharu 718 masih akan ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman.

Model ICE ini dikatakan bakal berada di kedudukan tertinggi dalam hierarki barisan 718, meletakkan versi elektrik (jika diteruskan) di bawahnya.

Pengumuman itu dilihat sebagai petanda awal bahawa Porsche sendiri masih ragu-ragu terhadap penerimaan pasaran bagi kereta sports elektrik berskala kecil.

 

3

 

Dari sudut industri, langkah menghentikan pembangunan 718 elektrik bukan sesuatu yang mengejutkan, Porsche kini berdepan kejatuhan jualan yang ketara di China, selain tekanan baharu daripada kenaan tarif di Amerika Syarikat, dua daripada tiga pasaran terbesarnya di peringkat global.

Dalam situasi kewangan yang mencabar, meneruskan pelaburan besar terhadap kereta sports elektrik yang kompleks dan mahal, serta belum tentu mendapat sambutan dilihat sebagai keputusan berisiko tinggi.

Tambahan pula, pelabur Porsche sebelum ini dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi jenama itu sehingga membawa kepada perubahan kepimpinan, dengan Leiters kini diberi tanggungjawab untuk menghidupkan semula momentum syarikat.

Dalam konteks ini, memberi tumpuan kepada model teras yang lebih menguntungkan dan mempunyai permintaan stabil mungkin menjadi keutamaan.

Jika projek 718 elektrik benar-benar digugurkan, Porsche masih mempunyai barisan model sports dan prestasi yang kukuh tanpa bergantung kepada elektrifikasi sepenuhnya.

Bagi sesetengah peminat, keputusan ini mungkin dianggap berita baik, manakala bagi yang lain, ia menandakan satu lagi realiti bahawa kereta sports elektrik masih belum benar-benar bersedia untuk menggantikan pengalaman pemanduan tradisional yang menjadi DNA Porsche sejak sekian lama.

 

Sumber: Bloomberg

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam masa yang sama, CEO Porsche Oliver Blume menjelaskan model 911 akan muncul dalam versi '…