Porsche 718 Spyder RS - enjin flat-six 500 PS daripada 911 GT3!

oleh Mohamad Hanif|
Porsche telah mengemaskini penawaran model berenjin tengah 718 dengan memperkenalkan varian baharu 718 Spyder RS sebagai pelengkap kepada model 718 Cayman GT4 RS.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Buat pertama kalinya, model ini menerima nadi boxer enam silider aspirasi natural 4.0 liter yang dipinjamkan daripada 911 GT3, di mana nadi yang sama turut digunakan pada kereta lumba Porsche 911 GT3 Cup.

Nadi flat-six itu berupaya menjana kuasa setinggi 500 PS @ 9,000 rpm dan daya kilas maksimum 450 Nm, dipadankan dengan transmisi PDK nisbah pendek tujuh kelajuan.
 

718


Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.4 saat, sebelum mencecah 200 km/j dalam tempoh 10.9 saat dan kelajuan maksimum sekitar 308 km/j.

Porsche 718 Spyder RS didatangkan standard dengan sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) yang boleh direndahkan sebanyak 30 mm, diikuti Porsche Torque Vectoring (PTV), pembeza gelincir terhad mekanikal, galas suspensi bebola, dan rim aluminium tempa bersaiz 20 inci.

Selain daripada enjin berkuasa, 718 Spyder RS ini juga memiliki berat badan sekitar 1,410 kg, atau 40 kg lebih ringan berbanding 718 Spyder, atau 5 kg lebih ringan berbanding 718 Cayman GT4 RS.
 

718


Penjimatan berat juga turut disumbangkan oleh rekaan bumbung serba baharu, di mana ia kini seberat 18.3 kg atau 7.6 kg lebih ringan berbanding 718 Spyder, dan 16.5 kg lebih ringan berbanding 718 Boxster.

Rekaan bumbung jenis soft-top menggunakan operasi manual yang sangat kompak itu terdiri daripada dua bahagian, dan boleh terus ditanggalkan dan disimpan di rumah sekiranya cuaca mengizinkan.

Sama seperti Cayman GT4 RS, 718 Spyder RS ini turut mendapat kelengkapan aerodinamik termasuklah struktur bampar depan, liang NACA,  dan bonet CFRP.
 

718


Sementara bahagian belakang Spyder RS ini tidak mendapat sayap besar seperti Cayman GT4 RS, akan tetapi dilengkapi dengan spoiler ekor itik yang mampu mengekalkan keseimbangan aerodinamik jentera ini, terutama pada kelajuan tinggi.

Karakter sporti turut diterapkan pada ruang kabin, di mana 718 Spyder RS ini dilengkapi dengan roda stereng RS balutan Race-Tex, penanda pukul 12 berwarna kuning, tempat duduk bucket daripada bahan CFRP, logo Spyder RS pada perehat kepala, diikuti dengan kombinasi kulit hitam dan bahan Race-Tex pada tempat duduk.

Pembeli 718 Spyder RS boleh mendapatkan pakej Weissach yang merangkumi komponen seperti rim magnesium, tip ekzos titanium, kemasan luaran yang diinspirasikan daripada model 935, serta balutan Race-Tex anti-silau pada bahagian atas papan pemuka.
 

718


Selain itu, Porsche turut menawarkan jam tangan eksklusif Porsche Design Timepieces yang membawakan ciri seperti casis titanium, rekaan dial karbon dan tali jam daripada bahan kulit, diikuti dengan rekaan penutup belakang yang mengingatkan kita kepada rekaan rim 718 Spyder RS.