Reka Bentuk Luaran Yang Ikonik
Kereta ini menonjol dengan warna Graphite Grey manakala rim menampilkan jejari berwarna Guards Red, selari dengan lingkaran pada lampu untuk memberikan kontras yang menawan pada bahagian hadapan.
Pintu dihiasi grafik Tribute to Transfăgărășan, sementara tiang B menampilkan lencana yang sebagai tanda satu daripada 10 unit edisi khas.
Di belakang, gril enjin menerima sentuhan warna biru, kuning dan merah menyerupai bendera Romania yang menambah identiti tempatan pada model global ini.
Dalaman Khas
Sentuhan peribadi diteruskan di dalam kabin. Tulisan Tribute to Transfăgărășan tampil pada pelapik ambang pintu bercahaya dan dijahit pada penyandar kepala dan pada perehat tangan.
Papan pemuka penumpang turut menampilkan logo serta tulisan yang sama.
Setiap pemilik diberi kebebasan untuk memilih bahan dalaman, aksesori dan kemasan lain, menjadikan setiap unit unik walaupun disatukan oleh tema penghormatan kepada Transfăgărășan.
Prestasi Tipikal Porsche
Di sebalik reka bentuk eksklusif, 911 Carrera 4 GTS mengekalkan prestasi pemanduan tipikal Porsche.
Dipacu oleh enjin boxer 3.6 liter baharu, model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 312 km/j.
Output sistem keseluruhan ialah 541 ps dan 610Nm, memberikan pengalaman pemanduan yang dinamik, responsif dan mengasyikkan hasil pengetahuan Porsche dalam dunia permotoran profesional.
Berat hanya meningkat sedikit berbanding model sebelum, membolehkan kereta ini menawarkan pemanduan sport yang ringan dan cekap.
Proses Tempahan Khas
Sebelum penerimaan kereta, pemilik dijemput ke Sonderwunsch Manufaktur di Zuffenhausen untuk meninjau dan menyemak butiran terakhir kereta masing-masing bersama pakar Porsche.
Sementara satu unit telah diserahkan, sembilan lagi akan diterima pemilik masing-masing dalam acara khas yang dijadualkan pada penghujung Ogos.
Penulis: Muhammad Md Tajudin