Porsche 911 Turbo S - 650 PS/800 Nm, dari RM2.2 juta!

oleh Mohamad Hanif|
Sime Darby Auto Performance selaku pengedar rasmi kenderaan berjenama Porsche kini membawakan varian tertinggi kereta sports Porsche 911 Turbo S 2021 untuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Porsche 911 Turbo S 2021 dijana oleh enjin boxer 3.8 liter yang dibantu dua unit pengecas turbo VTG yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 650 PS dan daya kilas maksimum 800 Nm.

Dengan bantuan transmisi Porsche Doppelkupplung (PDK) yang ditala spesifik untuk model Turbo ini, dan sistem pacuan semua roda, Porsche 911 Turbo S mampu memecut 2.7 saat dari 0-100 km/j (0.2 saat lebih pantas) namun kelajuan tertinggi kekal pada angka 330 km/j.

Enjin enam silinder ini juga turut menempatkan sistem kemasukan udara baharu yang mengubah aliran udara yang bertujuan untuk meningkatkan kadar keberkesanan enjin.

 


Selain daripada prestasi yang dipertingkat, Porsche 911 Turbo S 2021 menampilkan perubahan dimensi trek yang lebih lebar - penambahan 42 mm di hadapan dan 10 mm di belakang, dengan saiz tayar 255/35 dan rim 20 inci di depan dan 315/30 dengan saiz rim 21 inci di belakang.

Disebabkan itu, dimensi keseluruhan Porsche 911 Turbo S juga turut bertambah kepada 1,840 mm untuk gandar hadapan (45 mm lebih lebar), dan 1,900 mm untuk gandar belakang (penambahan 20 mm).

Ciri Porsche Active Aerodynamics (PAA) kini merangkumi dua perkara, iaitu flap udara untuk kawalan penyejukan dan sayap belakang yang lebih besar untuk menjana 15 peratus lebih daya turun (downforce) bergantung kepada kelajuan dan mod pemanduan.

 


Dalam mod Eco, sayap belakang akan diubah tetapannya mengikut julat kelajuan bagi membenarkan pemanduan dengan kadar seretan yang minimum, sementara mod Wet pula memfokuskan kestabilan pemanduan di dalam kondisi jalan yang basah, di mana kadar keseimbangan aerodinamik akan dipindahkan lebih ke bahagian belakang.

Manakala dalam situasi brek penuh pada kelajuan tinggi, fungsi brek udara akan diaktifkan secara automatik di mana spoiler hadapan dan sayap belakang akan diubah kepada posisi Performance untuk kadar seretan yang lebih tinggi, meningkatkan daya turun dan menambahbaik kadar kestabilan ketika proses membrek.

Sistem Porsche Traction Management (PTM) yang dipertingkatkan itu mampu menyalurkan lebih daya kilas sehingga 500 Nm kepada roda hadapan, diikuti dengan Porsche Active Suspension Managemen (PASM) yang membolehkan casis direndahkan sebanyak 10 mm, serta menawarkan kawalan redaman yang lebih pantas dan jitu, sekaligus memberikan manfaat kepada dinamik pemanduan yang lebih baik.

 


Rekaan luaran Porsche 911 Turbo S 2021 ini menampilkan muka hadapan baharu spesifik dengan liang kemasukan udara yang lebih lebar, lampu matrix LED dengan kemasan gelap, dan diteruskan dengan spoiler hadapan dan sayap belakang yang lebih besar.

Sementara bahagian belakang pula dikemaskan dengan tip ekzos berwarna hitam berkilat tipikal model-model Turbo.

Kelengkapan dalaman yang didatangkan standard untuk Porsche 911 Turbo S ini termasuklah upholsteri kulit penuh, trim karbon, kombinasi aksen Light Silver, tempat duduk sports larasan 18 cara, serta kemasan jahitan yang merupakan homaj kepada model 911 Turbo pertama (type 930).

 


Skrin tengah kini bersaiz 10.9 inci yang boleh diperasikan dengan mudah, terima kasih kepada susunan baharu yang mengurangkan jumlah kawalan, diikuti roda stereng GT Sports, pakej Sport Chrono dengan aplikasi Porsche Track Precision terintegrasi, dan sistem bunyi BOSE Surround System.

Porsche 911 Turbo S 2021 ditawarkan pada harga bermula dari RM2,235,463 termasuk pengecualian cukai SST.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun tahukah anda, menjelang tahun akhir produksi model tersebut, Porsche membuat keputusan untuk…
Berita Global
Brabus 900 Rocket R ini asalnya sebuah Porsche 911 Turbo S, ia bukan sahaja membawakan rupa paras…
Berita Global
Menariknya, beliau tidak memilih untuk bermalam di hotel mewah yang berdekatan.   Sebaliknya…