Sel bateri terbaharu yang dibangunkan oleh Porsche itu menggunakan anod silikon berbanding penggunaan anod grafit, dan dengan penggunaan elektrolit dan aditif baharu membolehkan sel bateri ini beroperasi pada suhu yang lebih tinggi.
Menurut Porsche, sel bateri baharu ini mampu beroperasi secara optimum pada suhu melebihi 75 darjah Celcius, berbanding bateri normal yang beroperasi pada suhu 25 darjah Celcius dan tidak melebihi 46 darjah Celcius.
Hasil tindakbalas kimia itu membolehkan Porsche membangunkan bateri berketumpatan tinggi, pemulihan tenaga yang lebih baik serta pengecasan yang lebih pantas.
Tambah Porsche lagi, ini merupakan satu langkah yang penting ke arah menghasilkan jentera lumba elektrik yang boleh dibeli oleh pelanggan, serta jentera jalanan edisi terhad.
"Sel bateri merupakan 'kebuk pembakaran' masa hadapan," ujar Oliver Blume, pengerusi Porsche.
Selain daripada struktur binaan bateri, Porsche juga sedang merancang untuk memperluaskan lagi jaringan pengecasan EV di seluruh Eropah, dan ia juga bakal mempunyai beberapa kemudahan seperti ruang rehat yang mewah.
Menurut Blume, Porsche sedang bekerja menghasilkan konsep stesen pengecasan pantas di beberapa lokasi menarik kepada para pelanggan mereka bagi menawarkan pengalaman perjalanan jarak jauh yang lebih selesa dan lebih pantas.