Porsche Cayenne Turbo GT 2022 - 640 PS/850 Nm, 0-100 dalam 3.3 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah berjaya mencatatkan rekod sebagai SUV terpantas di Litar Nurburgring, Porsche secara rasmi melancarkan model terbaharu merangkap pelengkap kepada penawaran model Cayenne sedia ada.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Porsche Cayenne Turbo GT didatangkan dengan nadi kuasa empat liter bentangan V8 turbo berkembar yang berupaya menjana sehingga 640 PS dan 850 Nm, peningkatan sebanyak 90 PS/80 Nm berbanding model Cayenne Turbo Coupe.

 


Peningkatan ini mampu dicapai terima kasih kepada penggunaan komponen khusus seperti aci engkol, rod penyambung, omboh, sistem pemacu rantai masa, dan peredam gegaran kilasan.

Talaan semula turut diberikan kepada sistem transmisi Tiptronic S lapan kelajuan, sistem Porsche Traction Management (PTM), serta sistem ekzos sports dengan perpaipan tengah yang unik untuk Cayenne Turbo GT dan diperbuat daripada bahan titanium yang ringan dan tahan haba.

Ini membolehkan Cayenne Turbo GT memecut sepantas 3.3 saat dari 0-100 km/j, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 300 km/j, peningkatan 14 km/j daripada model Cayenne Turbo Coupe.

 


Selain daripada itu, Cayenne Turbo GT duduk lebih rendah 17 mm jika dibandingkan dengan model Cayenne Turbo Coupe, terima kasih kepada kalibrasi khas yang didatangkan pada sistem suspensi three-chamber, serta  Porsche Active Suspension Management (PASM).

Sistem penstabilan aktif Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) kini mampu menawarkan lebih kestabilan serta aspek pemanduan yang lebih jitu terutama ketika di selekoh, dibantu dengan Power Steering Plus dan stereng gandar belakang.

Ia juga dibantu dengan ciri Porsche Torque Vectoring yang membolehkan nisbah kecenderungan daya kilas yang lebih tinggi, serta gandar hadapan yang dioptimasikan bagi menambahbaik aspek pengendalian.

 


Perbezaan dengan model Turbo Coupe diteruskan lagi dengan penambahan lebar pada roda hadapan, diikuti dengan camber negatif yang bertambah sebanyak 0.45 darjah bagi membolehkan arca roda memuatkan tayar baharu Pirelli P Zero Corsa bersaiz 22 inci yang dibangunkan khas untuk model ini.

Sistem brek pula adalah standard Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) bagi memastikan Cayenne Turbo GT ini berhenti tanpa perlu mengeluarkan peluh pemandu.

Penampilan Cayenne Turbo GT boleh dibezakan menerusi penampilan aksesori seperti apron depan khas GT dengan spoiler lip, liang kemasukan udara yang lebih besar, bumbung gentian karbon, penambahan pada arca roda, serta rim 22 inci GT Design.

Selain itu, plet sisi gentian karbon yang dimuatkan pada spoiler bumbung juga merupakan aksesori khas untuk varian ini, sementara spoiler lip belakang adaptif juga kini 25 mm lebih besar dan mampu menambah daya turun sebanyak 40 kg pada kelajuan maksimum.

Penampilan luaran disudahi dengan panel diffuser diperbuat daripada gentian karbon.

 


Tatkala bahagian luar banyak menampilkan komponen yang diperbuat daripada bahan gentian karbon, ruang kabin pula banyak menempatkan penggunaan bahan Alcantara, diselangi dengan aksen kontras Neodyme atau Arctic Grey, serta perkataan Turbo GT pada penyandar kepala.

Roda stereng sports pula datang dengan penanda pukul 12 berwarna kuning, sementara tempat duduk sports dimuatkan pada baris hadapan dan belakang dan ia bermakna hanya empat orang sahaja mampu duduk dalam Cayenne Turbo GT pada satu-satu masa.

Turut membuat kemunculan pertama di dalam Cayenne Turbo GT adalah sistem infotainmen serba baharu Porsche Communication Management (PCM) yang kini membenarkan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

 


Harga jualan Porsche Cayenne Turbo GT di Jerman bermula dari 196,078 euro (RM969,829) dan bakal tersedia menjelang pertengahan September ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Lokasi itu terletak di dalam kawasan ladang sawit berhampiran dengan sebuah kampung yang terletak…
Berita Global
Secara teknikal, Taycan Turbo GT menghasilkan 777 HP dan 1,339 Nm, namun ia boleh dipertingkatkan…
Berita Global
Namun tahukah anda, menjelang tahun akhir produksi model tersebut, Porsche membuat keputusan untuk…