Bersempena dengan ulang tahun separuh abad firma rekaan tersebut, Porsche telah melancarkan model kereta sports 911 Edition 50 Years Porsche Design edisi terhad sebanyak 750 unit sahaja.
Menggunakan asas daripada model 911 Targa 4 GTS, model edisi khas ini didatangkan dalam layangan warna hitam, logo Porsche Design pada bahagian pintu, bar targa berwarna Satin Platinum, serta logo 50 Years Porsche Design pada bahagian gril dek belakang.
Selain daripada itu, kesemua model 911 Edition 50 Years Porsche Design ini membawakan rim berdiameter 20 inci (dan 21 inci di belakang) dengan sistem kekunci tengah, diikuti dengan kemasan hitam berkilat pada angkup brek.
Ruang kabin 911 ini didatangkan dengan upholsteri Sport-Tex dengan rekaan bendera penamat, diikuti dengan logo 50 Years Porsche Design pada perehat kepala, dan penanda tengah stereng GT Sport berwarna Slate Grey.
Porsche turut menambah kelengkapan seperti tempat duduk sports adaptif boleh laras 18 cara, Sport Chrono Package yang menampilkan Porsche Design Subsecond Clock dengan jarum saat berwarna merah, tali pinggang berwarna Slate Grey, plak bernombor serta tandatangan pengasas Porsche Design, Alexander Porsche pada konsol tengah.
Selain itu, Porsche turut melancarkan dua utas jam tangan baharu yang memberikan penghormatan buat produk pertama Porsche Design, iaitu Chronograph 1 - 911 50 Years of Porsche Design dan Chronograph 1 - 1972 Limited Edition.
Jam tangan Chronograph 1 - 911 50 Years of Porsche Design akan ditawarkan dengan setiap pembelian kereta edisi terhad ini dengan harga jualan bermula dari $197,200 (RM826,761).
Sementara jam tangan Chronograph 1 - 1972 Limited Edition pula akan dihasilkan sebanyak 500 unit sahaja, membawakan persamaan dari segi rekaan dan saiz dengan jam tangan asal, serta logo bersejarah Porsche Design.
Harga jualan jam ini bermula dari $7,700 (RM32,282) setiap satu.