Porsche lancar 911 GTS 2022 - lebih berkuasa berbanding Carrera S

oleh Mohamad Hanif|
Seperti tipikal syarikat pengeluar automotif mewah, Porsche juga turut menawarkan pelbagai jenis varian termasuklah model sporti Porsche 911 kepada pemilik yang mahu menghabiskan wang dengan cara tersendiri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Varian terbaharu yang dilancarkan oleh Porsche adalah GTS di mana ia akan diposisikan di antara model 911 Carrera S dan 911 Turbo.

Pengenalan varian GTS ini turut diserikan dengan enjin 3.0 liter boxer enam silinder dengan turbo berkembar yang menghasilkan 473 kuasa kuda dan 569 Nm, peningkatan sebanyak 30 hp berbanding model Carrera S (atau 23 hp berbanding model 911 GTS terdahulu).

 


Porsche masih lagi menawarkan transmisi manual tujuh kelajuan dengan ciri quick shift disamping transmisi automatik PDK lapan nisbah kelajuan.

Varian GTS ini boleh didapati untuk model-model pacuan roda belakang Carrera GTS (coupe dan cabriolet), model AWD Carrera 4 GTS (coupe dan cabriolet) serta model Targa 4 GTS yang boleh dibeli dalam versi AWD sahaja.

Menurut Porsche, 911 Carrera 4 GTS mampu memecut sepantas 3.1 saat dari 0-96 km/j dengan menggunakan kotak gear automatik.

 


Apa yang membezakan model 911 GTS dengan model 911 yang lain adalah kemasan hitam yang dibawakan oleh pakej SportDesign merangkumi spoiler lip Satin Black, rim aloi dengan sistem kekunci tengah, gril pelindung enjin, dan skrip GTS yang terdapat pada pintu dan belakang kereta.

Selain daripada itu, model-model GTS juga turut mendapat kemasan hitam di sekeliling lampu, unit lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System Plus, dan lampu belakang yang digelapkan.

Sementara model Targa 4 GTS pula mendapat bar Targa dan kemasan perkataan di dalam warna gelap.

 


Dari segi pengendalian, Porsche telah menala kembali sistem suspensi supaya lebih rendah 10 mm, dibantu dengan sistem brek yang telah dinaiktaraf diperoleh daripada model 911 Turbo.

Selain daripada itu, Porsche turut menawarkan pakej Lightweight yang mapu mengurangkan berat sehingga 55 kg dengan penggunaan tempat duduk bucket gentian karbon, kaca ringan, bateri yang lebih ringan, serta pembuangan tempat duduk belakang.

Ruang kabin varian GTS ini menerima kelengkapan seperti roda stereng GT Sport, pakej Sport Chrono, Sport Seats Plus dengan sokongan lateral boleh laras dan aplikasi Porsche Track Precision secara standard.

 


Terdapat kemasan Race-Tex yang membaluti bahagian tengah tempat duduk, roda stereng, pemegang pintu, perehat tangan, tuil gear serta lid storan yang dikonstraskan dengan trim gentian karbon.

Tidak ketinggalan, sistem infotainmen yang dikuasakan oleh Porsche Communication Management yang kini merangkumi integrasi peranti pintar seperti Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem bantuan yang boleh diaktifkan dengan kata sapaan "Hey Porsche".