Sime Darby Auto Performance (SDAP) menawarkan sehingga tiga pilihan kuasa enjin kepada pengguna, bermula dari versi asas dengan nadi empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menjana 598 PS dan 400 Nm, peningkatan sebanyak 13 PS dan 30 Nm berbanding model terdahulu.
Sementara Macan S pula didatangkan dengan enjin bentangan V6 bi-turbo 2.9 liter dengan kuasa setinggi 380 PS (peningkatan sebanyak 26 PS), kuasa pecutan 0-100 km/j sepantas 4.6 saat dan kelajuan maksimum 259 km/j.
Varian mercu Macan GTS pula mendapat enjin yang sama, namun dengan talaan yang lebih berkuasa - 440 PS atau peningkatan 60 PS daripada model terdahulu, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.3 saat menerusi pakej Sport Chrono, dan kelajuan tertinggi 272 km/j.
Peningkatan kuasa ini boleh dicapai menerusi penambahbaikan terhadap tekanan bahan api kepada 350 bar, serta pengedaran bahan bakar yang diperingkat, semua ini menyumbang kepada pembakaran yang dioptimasikan.
Kesemua varian Macan 2022 dipadankan dengan transmisi klac berkembar PDK tujuh nisbah kelajun, serta sistem pacuan semua roda dengan Porsche Traction Management (PTM).
Casis Macan turut dioptimasikan bagi memberikan respon yang lebih sensitif dan lebih terus terhadap situasi pemanduan dan kondisi jalan, dibantu dengan sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) sebagai ciri standard dalam Premium Package.
Seperti yang dipertunjukkan tahun lalu, Porsche Macan menampilkan rekaan hadapan yang diperbaharui, ditambah dengan elemen struktur tiga dimensi sementara bahagian belakang pula mendapat komponen diffuser yang menaikan rupa paras yang sporti.
Ciri lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan cermin sisi Sport Design adalah standard untuk semua model.
Sementara ruang kabin pula menempatkan skrin sentuh bersaiz 10.9 inci HD, roda stereng GT Sport daripada model 911, jam analog di tengah papan pemuka, serta perkhidmatan dan fungsi dalam talian secara standard.
Premium Package ditawarkan secara standard pada model Macan dan Macan S, dengan tambahan ciri seperti tempat duduk boleh laras 14 cara, Power Steering Plus, Park Assist, cermin auto kelam, serta sistem bunyi keliling BOSE Surround Sound System.
Harga jualan adalah seperti berikut:
Porsche Macan - RM433,154
Porsche Macan S - RM623,593
Porsche Macan GTS - RM786,232
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun, serta pakej penyelenggaraan percuma untuk tempoh dua tahun.