Kuasa 571 ps dan Pecutan 0–100 km/j Dalam 3.8 Saat
Macan GTS menjadi model elektrik pertama Porsche yang membawa nama GTS.
SUV ini membawa prestasi luar biasa, dengan pecutan 0–100 km/j dalam 3.8 saat, 200 km/j dalam 13.3 saat dan kelajuan maksimum 250 km/j.
Seperti Macan Turbo, model ini dilengkapi motor elektrik gandar belakang paling berkuasa dalam siri Macan.
Motor berdiameter 230 mm dan panjang aktif 210 mm ini disertakan dengan inverter silikon karbida (SiC) 900A yang sangat cekap.
Kombinasi dua motor elektrik depan dan belakang menghasilkan 380 kW (516 ps), dan meningkat kepada 420 kW (571 ps) dengan Launch Control, bersama tork maksimum 955Nm.
Transmisi dengan nisbah 9.0:1 direka khas untuk menampung daya kilas besar ini.
Macan GTS juga menawarkan jarak pemanduan WLTP sehingga 586 km.
Bateri 100 kWj boleh dicas 10 hingga 80% dalam hanya 21 minit di stesen pengecasan pantas dengan kuasa puncak 270 kW.
Sport Chrono Package Dengan Track Mode
Pakej Sport Chrono hadir standard dan kini merangkumi mod trek (Track Mode) yang diambil daripada Porsche Taycan.
Mod ini mengoptimumkan sistem penyejukan bateri bagi mengurangkan kesan penurunan kuasa (derating effect) ketika pemanduan intensif, memastikan prestasi kekal konsisten dalam penggunaan berterusan.
Suspensi Udara Sport dan Kawalan Dinamik GTS
Macan GTS direka seperti kereta sport sejati dengan agihan berat belakang 48:52, pusat graviti rendah dan sistem pacuan semua roda ePTM yang responsif.
Turut dilengkapi Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) dan pembeza belakang kawalan elektronik, sistem ini meningkatkan cengkaman dan ketangkasan ketika membelok.
Suspensi udara sport dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) pula ditala khas untuk GTS.
Sistem menurunkan ketinggian pemanduan sebanyak 10 mm, serta menggunakan talaan penyerap hentak dan bar penstabil eksklusif.
Pilihan tambahan pembelokan gandar belakang menambah lagi ketepatan pengendalian.
Model ini turut menampilkan Porsche Electric Sport Sound (PESS) dengan dua profil bunyi khas GTS yang memberikan karakter berbeza dalam mod Sport dan Sport Plus.
Reka Bentuk GTS: Riasan Hitam dan Pakej Sport Design Baharu
Macan GTS tampil berbeza dalam barisan Macan Electric dengan pelbagai elemen berwarna hitam pada bahagian hadapan, sisi dan belakang.
Lampu utama Matrix LED bertona gelap, kontur tepi yang menyerlah serta kemasan hitam pada spoiler adaptif, bilah sisi, riasan lengkungan roda dan sisipan bampar menjadi identiti GTS.
Bermula awal 2026, semua model Macan akan menerima Pakej Sport Design baharu dan GTS menjadi model pertama yang menerimanya sebagai standard.
Rekaan skirt sisi baharu yang melebar ke belakang memberi imej lebih agresif, manakala bahagian bawah belakang menampilkan penyebar (diffuser) besar dengan kemasan hitam serta lampu belakang bertona gelap.
Macan GTS hadir standard dengan rim 21 inci Macan Design Anthracite Grey dan pilihan rim 22 inci RS Spyder Design ditawarkan sebagai opsyen.
Untuk warna badan, tiga pilihan baharu diperkenalkan iaitu Crayon, Carmine Red (warna khas GTS) dan Lugano Blue yang pertama kali digunakan pada Macan.
Melalui Porsche Exclusive Manufaktur, pelanggan juga boleh memilih daripada hampir 60 warna tambahan dalam program Paint to Sample.
Kabin Dengan Sentuhan Warna dan Bahan Premium
Bahagian dalaman Macan GTS meneruskan tema sport dengan penggunaan bahan Race-Tex secara meluas, digabung dengan kulit licin hitam.
Race-Tex digunakan pada stereng GT Sports pelbagai fungsi dengan pemanas, perehat tangan konsol tengah dan pintu, serta papan pemuka.
Kerusi Sport Adaptif 18 arah turut menggunakan Race-Tex pada bahagian tengah, manakala sokongan sisi dan perehat kepala dibalut kulit.
Porsche juga memperkenalkan buat pertama kali Pakej Dalaman GTS yang menyelaraskan warna luaran dan dalaman.
Pilihan warna termasuk Carmine Red, Slate Grey Neo, atau Lugano Blue dengan jahitan berlawanan, tali pinggang dan logo GTS dalam warna sepadan.
Pakej ini turut merangkumi Pakej Dalaman Karbon, menambah kemasan gentian karbon pada stereng, papan pemuka dan panel pintu.
Kokpit digital menampilkan paparan 3D kenderaan dalam warna sebenar badan, bersama logo GTS pada gugusan meter.
Ciri-ciri dalam Pakej Sport Chrono standard seperti pemasa pusingan dan analisis telemetri boleh diakses melalui skrin tengah.
Teknologi Bantuan dan Hiburan Terkini
Macan GTS turut menerima kemas kini digital terkini yang diperkenalkan untuk seluruh barisan Macan. Ini termasuk:
- Porsche Digital Key sebagai alternatif kepada kunci fizikal,
- Sistem bantuan parkir baharu,
- Pembantu suara AI Voice Pilot,
- Fungsi permainan dalam kereta (in-car gaming) yang dipertingkat, dan
- Kapasiti menunda maksimum meningkat kepada 2,500 kg.
Dengan segala peningkatan ini, Porsche Macan GTS bukan sekadar SUV elektrik berprestasi tinggi, ia juga menandakan evolusi baharu dalam DNA GTS dengan gabungan elektrik dan jiwa pemanduan tulen Porsche.
Penulis: Muhammad Md Tajudin