Porsche Rugi RM5.4 Bilion, Terjun ke Krisis Terburuk Sejak IPO 2022

oleh Qalif Latif|
Porsche kini berdepan detik paling suram sejak disenaraikan di pasaran saham pada 2022 apabila mencatatkan kerugian operasi suku ketiga sebanyak 966 juta euro (RM5.4 bilion), jauh lebih besar daripada jangkaan penganalisis yang meramalkan kerugian sekitar 611 juta euro.

Menurut laporan Reuters, prestasi buruk ini berpunca daripada penurunan jualan global, tekanan harga, serta impak besar daripada pengunduran rancangan besar-besaran Porsche dalam pengembangan kenderaan elektrik (EV) yang diumumkan bulan lalu.

Pasaran China dan Tarif AS Jadi Beban Utama

Jualan Porsche kini merosot di ketiga-tiga pasaran utamanya, iaitu Eropah, Amerika Utara dan China, berikutan perang harga yang berterusan di China serta tarif import AS yang dijangka menelan kos tambahan sekitar 700 juta euro (RM3.9 bilion) tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Jochen Breckner menjelaskan bahawa Porsche berdepan tahun paling mencabar dalam sejarah moden syarikat itu. Beliau menjangkakan 2025 sebagai “tahun dasar lembah” (trough year) sebelum pemulihan semula dijangka bermula pada 2026 dengan margin keuntungan meningkat ke paras “high single digit”.

Dividen Turun, Harga Model Akan Naik

Breckner turut mengesahkan bahawa dividen bagi 2025 akan “jauh lebih rendah” berbanding 2.31 euro sesaham bagi tahun 2024, selari dengan langkah penjimatan syarikat. Porsche juga dijangka menaikkan harga jualan di Amerika Syarikat bagi menampung kos tambahan akibat tarif.

Krisis Kepimpinan dan Pelan Rasionalisasi

Krisis ini turut menambah tekanan ke atas CEO Oliver Blume, yang juga mengetuai Volkswagen Group. Beliau akan menyerahkan jawatan CEO Porsche kepada Michael Leiters, bekas CEO McLaren Automotive, pada awal 2026.

Leiters bakal mewarisi situasi genting dengan pelan pengurangan 1,900 pekerja tetap serta 2,000 pekerja sementara sudah diumumkan sebelum ini. Porsche turut menimbang pakej penjimatan baharu menjelang hujung tahun, termasuk langkah yang melibatkan struktur gaji dan faedah tambahan.

Sasaran 2025 Kekal, Tapi Dengan Margin Tipis

Walaupun beberapa kali mengeluarkan amaran keuntungan sepanjang tahun ini, Porsche masih mengekalkan panduan 2025 dengan unjuran pulangan jualan (return on sales) sekitar 2%, jauh merosot daripada 14% pada tahun 2024.

Porsche

Secara keseluruhan, Porsche menjangka impak negatif sebanyak 3.1 bilion euro (RM16.6 bilion) hasil daripada penstrukturan semula strategi EV mereka, termasuk keputusan membatalkan projek pengeluaran bateri dalaman.

Sumber: Reuters

 

Tags

Berita Berkenaan

Berita Global
Dari Kereta Sports Jadi Studio Bergerak Boxster S tersebut dengan enjin 2.5 liter turbo 350 hp (…
Berita Global
Kuasa 571 ps dan Pecutan 0–100 km/j Dalam 3.8 Saat     Macan GTS menjadi model elektrik pertama…
Berita Global
Kabin Dikuasai Skrin Cayenne Electric hadir dengan paparan digital terbesar pernah ditawarkan…