Setakat ini, spesifikasi tepat kereta sports berorientasikan off-road ini tidak diketahui.
Namun, Porsche mengesahkan model prototaip yang telah diperlihatkan sebelum ini telah diuji ketahanannya sejauh lebih 500,000 km termasuk 10,000 km pemanduan di laluan off-road untuk talaan casis yang lebih berkesan.

Salah satu laluan yang digunakan terletak di Dubai dan Morocco, di mana jentera itu telah dibawa mendaki bukit pasir 50 meter pada suhu setinggi 45 darjah Celcius.
Ia juga turut diuji merentasi tasik beku yang terletak di Arjeplog, Sweden, sebelum dibawa ke litar ujian Château de Lastours di selatan Perancis yang penuh dengan batuan dan laluan mencabar.

Pengendalian Porsche 911 Dakar ini turut dipuji duta Porsche yang merangkap bekas juara rali, Walter Röhrl.
"Segalanya berfungsi dengan tepat dan baik. Tiada pelanggan Porsche yang akan percaya semua ini boleh dilakukan dengan kereta ini sebelum mereka memandunya sendiri.

Hal itu turut disokong oleh seorang lagi pemandu pembangunan, Lars Kern yang terkenal dengan 'kepakarannya' di Nurburgring.
"Pada mulanya, saya tidak berani untuk menguji kereta ini sampai hadnya. Namun saya amat berpuas hati dengan pengendaliannya di laluan berbatu.
"Malah sistem ABS kereta ini telah dioptimasikan untuk tujuan pembrekan di atas jalan batu kelikir. Saya kagum dengan tahap cengkaman yang ditawarkan oleh tayar off-road ini. Ia amat seronok untuk dipandu.